KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) dan Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG) menggesa perkongsian risikan yang lebih kukuh, penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta kerjasama lebih erat merentas ekosistem kewangan bagi menangani jenayah kewangan.
Ketika jenayah kewangan semakin merentasi sempadan institusi, digital dan negara, kedua-dua organisasi itu menekankan keperluan pendekatan lebih bersepadu dalam menangani ancaman yang muncul pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026.
Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim berkata selama lebih 15 tahun, IFCTF menghimpunkan pengawal selia, agensi penguatkuasaan, institusi kewangan serta pakar industri dari Malaysia dan luar negara dengan satu matlamat bersama, iaitu melindungi integriti sistem kewangan Malaysia.
“Jenayah kewangan tidak mengenal sempadan institusi, industri atau negara. Bank, penyedia telekomunikasi, platform digital dan agensi penguatkuasaan mungkin masing-masing hanya melihat sebahagian daripada jenayah yang sama.
“Dengan menghubungkan maklumat tersebut, cebisan maklumat dapat ditukar menjadi risikan yang boleh diambil tindakan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada IFCTF 2026 hari in
Beliau berkata usaha menterjemahkan risikan kepada tindakan segera memerlukan penggunaan alat yang berkesan, dengan Laporan AICB-Ecosystem Artificial Intelligence (AI) in Practice 2026 baru-baru ini menunjukkan pengesanan penipuan serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembanterasan pembiayaan keganasan sebagai antara penggunaan utama AI dalam bank dan institusi kewangan pembangunan di Malaysia.
“AI boleh menghubungkan corak transaksi dan memperkukuh siasatan, namun keberkesanannya bergantung pada data yang boleh dipercayai, pengujian yang ketat serta pertimbangan profesional yang wajar, dengan akauntabiliti yang jelas terhadap setiap keputusan,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kerugian hampir RM3 bilion akibat penipuan dalam talian pada 2025, manakala hampir RM680 juta telah hilang dalam tempoh empat bulan pertama 2026.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata dalam ekonomi digital hari ini, setiap transaksi meninggalkan jejak data, dan cabarannya bukan lagi mendapatkan maklumat tetapi keupayaan menterjemahkannya kepada pandangan serta risikan yang boleh diambil tindakan.
“Di BNM, sebagai Unit Risikan Kewangan negara, data dan pandangan merupakan teras kepada tugas kami.
“Daripada menghasilkan produk risikan hingga memudah cara pengurusan data, kami sentiasa memperkukuh proses dan infrastruktur yang menyokong risikan berasaskan data,” katanya.
Beliau berkata sejak Oktober 2025, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NFCC) telah menjalankan projek rintis analisis corak rangkaian pembayaran bagi mengenal pasti akaun keldai yang berpotensi.
Katanya, setakat ini PayNet telah menandakan lebih 1,600 akaun mencurigakan, yang sebahagian besarnya kemudiannya dinilai mempunyai risiko berkaitan akaun keldai.
“Ini menunjukkan potensi risikan peringkat rangkaian dengan menghubungkan maklumat merentas institusi kewangan bagi mengenal pasti risiko yang mungkin tidak dapat dilihat dari perspektif sesebuah institusi secara bersendirian,” katanya.
Abdul Rasheed berkata bagi menyokong perubahan itu, BNM telah memperkukuh asas pengurusan risiko teknologi dan pencegahan penipuan.
“Dokumen dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi yang disemak semula memperkukuh daya tahan institusi kewangan terhadap risiko berkaitan teknologi, risiko siber dan jenayah digital yang berkembang pesat.
“Sementara itu, dokumen dasar Respons Institusi Kewangan terhadap Penipuan yang baru dikeluarkan memperkukuh lagi akauntabiliti dalam pengurusan risiko penipuan, di samping menggalakkan penggunaan risikan, analitik dan teknologi secara bertanggungjawab,” katanya.
Bertemakan “Pencegahan Jenayah Kewangan Berasaskan Risikan: Kuasa Data, Pandangan dan Kerjasama”, IFCTF 2026 menghimpunkan pengawal selia, agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan pakar teknologi untuk meneliti bagaimana perkongsian risikan dapat membolehkan pengesanan serta tindakan dilakukan lebih awal.
Persidangan itu berlangsung dari 5 hingga 7 Okt 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre.
Memasuki edisi ke-16, IFCTF yang dianjurkan AICB dan CONG dengan sokongan BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Labuan Financial Services Authority terus menjadi platform bagi pemimpin industri serta sektor awam berkongsi pendekatan praktikal dalam mencegah jenayah kewangan dan memperkukuh kepercayaan awam.
-- BERNAMA