MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi pembangunan Projek Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) di Pulau Melaka, di sini telah mencapai 56 peratus dengan jumlah pemasangan 170 cerucuk, setakat 3 Okt lepas.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata baki 134 cerucuk lagi dijangka siap dipasang menjelang pertengahan November ini dan pembangunan projek MICT merangkumi beberapa komponen utama termasuk jeti bentuk L, jeti bentuk T serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
"Bagi komponen jeti bentuk L, pihak pemaju menyasarkan pembinaannya siap pada akhir tahun depan sebelum mula beroperasi pada awal 2028, manakala jeti bentuk T dan Kompleks CIQ pula dijangka siap pada 2029.
"Pembangunan jeti MICT mempunyai potensi yang cukup besar buat Melaka kerana berkait secara langsung dengan kekuatan negeri ini sebagai destinasi pelancongan, khususnya dalam memperluas pasaran pelayaran persiaran antarabangsa," katanya kepada pemberita di Pulau Melaka, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di tapak projek Jeti MICT yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.
Ab Rauf berkata pembangunan MICT bakal membuka satu lagi pintu masuk antarabangsa ke Melaka melalui jalan laut, sekali gus memberikan ruang kepada lebih banyak ketibaan kapal persiaran dan pelancongan antarabangsa ke negeri itu pada masa hadapan.
Beliau berkata berdasarkan perancangan yang dibentangkan, MICT dijangka mampu menerima kira-kira 800 ketibaan kapal persiaran dengan kapasiti hingga 1.6 juta penumpang setahun melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM2 bilion ringgit serta berpotensi mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.
"Pada ketika ini juga, kita menerima kunjungan 4,800 pelancong pada setiap Isnin dan 3,000 pelancong pada setiap Khamis yang menaiki Genting Dream Cruise.
"Kita melihat potensi Ekonomi Biru di kawasan ini menerusi kerjasama inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dengan KAJD akan memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada Melaka," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memastikan segala perkara yang memerlukan tindakan jabatan dan agensi dapat diselaraskan dengan baik bagi melancarkan pembangunan projek itu.
Selain itu, katanya, pihak pemaju juga diharap memastikan setiap komponen projek dibangunkan mengikut spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta garis masa yang telah dipersetujui.
MICT ialah satu daripada komponen utama dalam pembangunan Melaka Gateway yang bakal menjadi sebuah jeti kapal pesiar terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memainkan peranan penting dalam industri pengangkutan laut di negeri itu.
-- BERNAMA