KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Hasil daripada latihan berbulan-bulan, amalan larian awal pagi dan hasrat untuk merekodkan pencapaian peribadi sampai ke kemuncaknya di jalanan di sekitar Kuala Lumpur apabila 40,000 pelari dari 70 negara berhimpun untuk Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, dengan ASICS Malaysia membawakan prestasi, pemulihan dan menyatukan komuniti dalam pengalaman perlumbaan hujung minggu itu.
KLSCM 2026 yang berlangsung pada 3 dan 4 Okt lepas menyaksikan ASICS kembali sebagai rakan kongsi kasut dan pakaian rasmi acara itu untuk tahun kedua berturut-turut, sekali gus meluaskan penglibatannya dengan penampilan pertama ASICS House, Zon Sorak khas dan ASICS Roving Truck, di samping pelancaran koleksi barangan eksklusif ASICS x KLSCM 2026.
Pengurus Negara ASICS Malaysia Boon Tib Soom Nik berkata walaupun pelari menyertai KLSCM dengan matlamat berbeza, hari perlumbaan telah menyatukan mereka dalam satu pengalaman yang sama.
"Setiap pelari hadir ke KLSCM dengan sasaran berbeza, tetapi pada hari perlumbaan, kita semua berkongsi jalan dan semangat yang sama untuk terus melangkah ke hadapan. Tahun ini, kami mahu mencipta pengalaman yang lebih besar di sepanjang perjalanan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Boon berkata ASICS House menyediakan ruang kepada pelari untuk berehat bagi memulihkan tenaga dan berhubung, yang menampilkan kemudahan mandian ais bagi menyokong pemulihan, Personal Best Wall dan aktiviti lain.
Buat kali pertama di KLSCM, ASICS Roving Truck turut membuat persinggahan di sekitar Kuala Lumpur menjelang hari perlumbaan sebelum menuju ke hentian terakhir di Zon Sorak KLSCM bagi memberikan dorongan kepada para pelari.
Pada acara itu, atlet ASICS Daren James Nair memenangi kategori Lelaki Malaysia dalam ASICS Half Marathon dengan mencatat masa 1 jam 13 minit 44 saat, manakala Yu Hui Khiing menamatkan kategori Wanita Malaysia dengan catatan 1:33:08.
Duta Jenama Wanita ASICS Malaysia Allison Yee Phui Se pula menduduki tempat ketiga (1:37:00) dan Lee Siok Chin menjuarai kategori Veteran Wanita Malaysia Full Marathon (3:19:07).
Daren, yang memilih acara separuh maraton kali ini selepas menyertai kategori 10 kilometer tahun lepas, berkata laluan yang mencabar menjadi bermakna dengan sorakan daripada orang ramai.
"Persediaan berjalan lancar dan saya gembira melihat latihan selama ini membuahkan hasil. Perjalanannya memang mencabar, tetapi laluan terakhir adalah yang terbaik, terutama dengan sorakan dan sokongan penonton," katanya.
ASICS Malaysia turut memperkenalkan rangkaian pakaian RUNKL di bawah tema "Where the City Meets the Stride", yang direka oleh artis dan pelukis mural dari Kota Kinabalu, Sabah Wilson Ng berasaskan inspirasi daripada komuniti larian Kuala Lumpur.
-- BERNAMA