Am 06/10/2026 10:26 AM

Saya Akan Curah Segala Penat Lelah Selagi Mampu - Cheng Hoe

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Saya Akan Curah Segala Penat Lelah Selagi Mampu - Cheng Hoe
Jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe (tengah) bersama penyerang Harimau Malaya Fergus Tierney (kanan) pada sidang media selepas perlawanan Piala FIFA ASEAN 2026 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam ini. Tan berjaya membawa skuad negara menamatkan kempen kejohanan di tempat ketiga dengan rekod tanpa kalah, selain menjaringkan 10 gol tanpa dibolosi dalam empat perlawanan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

JAKARTA, 6 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menyatakan kesediaannya untuk terus berkhidmat bersama dengan Harimau Malaya selepas kempen cemerlang Piala ASEAN FIFA 2026 yang menutup tirai saingan di sini, semalam.

Cheng Hoe berkata beliau tidak pernah berbelah bahagi untuk terus mencurahkan tenaga kepada skuad kebangsaan sekiranya masih diberi kepercayaan.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 58 tahun itu menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan kedudukannya.

“Bagi kedudukan saya, terserah kepada FAM untuk membuat keputusan. Selagi saya mampu, saya akan curahkan segala penat lelah kepada pasukan kebangsaan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 antara Malaysia dengan Vietnam di sini.

Pada pertembungan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) itu, Malaysia meraih kemenangan 1-0 hasil penyudah penyerang gantian Fergus Tierney pada minit ke-62, sekali gus membantu pasukan negara menamatkan kemarau kemenangan 12 tahun berdepan lawan itu sejak 2014.

Kemenangan itu turut menyaksikan anak buah Cheng Hoe mengakhiri kempen sebagai satu-satunya pasukan yang tidak tewas dan tidak dibolosi sepanjang kejohanan.

Sebagai rekod, Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih interim skuad kebangsaan pada Jun lepas bagi menggantikan Peter Cklamovski yang ditamatkan kontrak pada bulan sama.

Beliau merupakan pengendali skuad kebangsaan dari Disember 2017 hingga Disember 2021 selepas menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan dari 2009 hingga 2013.

Antara kejayaan manis diraih Cheng Hoe ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

Pada peringkat domestik, beliau mencipta kejayaan gemilang apabila membantu Kedah menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe turut pernah membimbing Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum berkelana ke Thailand apabila menerajui Police Tero FC.

Pada April 2025, beliau kembali berkhidmat di FAM apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.

-- BERNAMA