Am 06/10/2026 10:24 AM

Fergus Bangga Jaring Gol Kemenangan, Harap Harimau Malaya Kekal Momentum Positif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fergus Bangga Jaring Gol Kemenangan, Harap Harimau Malaya Kekal Momentum Positif
Jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe (tengah) bersama penyerang Harimau Malaya Fergus Tierney (kanan) pada sidang media selepas perlawanan Piala FIFA ASEAN 2026 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam ini. Tan berjaya membawa skuad negara menamatkan kempen kejohanan di tempat ketiga dengan rekod tanpa kalah, selain menjaringkan 10 gol tanpa dibolosi dalam empat perlawanan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

JAKARTA, 6 Okt (Bernama) -- Penyerang negara Fergus Tierney berharap kemenangan 1-0 ke atas Vietnam menjadi titik tolak buat Malaysia meneruskan momentum positif selepas menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga di sini, malam tadi.

Fergus gembira dapat menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) itu terutama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dengan misi memberi impak segera kepada pasukan.

Pemain berusia 23 tahun itu meledak gol tunggal perlawanan tidak lama selepas memasuki padang pada babak kedua untuk memastikan Malaysia menutup kempen kejohanan sulung itu dengan kemenangan.

“Masa saya masuk tadi, saya memang nak memberi impak kepada perlawanan. Saya rasa itu mungkin sentuhan pertama saya dalam perlawanan.

“Saya memang gembira kerana boleh membantu pasukan dan saya sangat gembira pada saat ini. Saya berharap kita boleh kekal dengan momentum ini sebagai satu pasukan,” kata pemain kelab Cyprus, PAC Omonia 29M itu pada sidang media selepas perlawanan penentuan tempat ketiga, malam tadi.

Kemenangan ke atas Vietnam turut menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia tanpa kemenangan ke atas pasukan berkenaan, dengan kali terakhir pasukan negara mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014.

Skuad bimbingan ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe itu turut mengakhiri kejohanan tanpa kalah dan tanpa dibolosi, hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri dalam empat perlawanan.

Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum terikat tanpa jaringan dengan Indonesia, diikuti kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura.

Namun, pasukan negara terlepas slot ke final menerusi jumlah jaringan selepas mengakhiri saingan Kumpulan A Divisyen 1 dengan mata dan perbezaan gol yang sama dengan tuan rumah.

-- BERNAMA