Am 06/10/2026 09:16 AM

Jerebu: 21 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Batu Pahat Tertinggi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: 21 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Batu Pahat Tertinggi

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Sebanyak 21 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi, dengan Batu Pahat, Johor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 188.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), kawasan lain di Johor yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Kluang (169), Segamat dan Larkin masing-masing 166, Pasir Gudang (165), Tangkak (164), Kota Tinggi (155) dan Pengerang (154).

Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan 161 manakala Seremban (157) sementara Bandar Raya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka masing-masing 155 dan 115.

Di Pahang, Balok Baru dan Indera Mahkota di Kuantan merekodkan bacaan 153 dan 142 manakala Rompin (152) serta Jerantut (102).

Putrajaya pula mencatatkan bacaan IPU 152, Cheras dan Batu Muda di Kuala Lumpur masing-masing 140 dan 120 manakala Kemaman dan Paka di Terengganu merekodkan 134 dan 111.

Selain itu, sebanyak 48 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dan lima kawasan merekodkan kualiti udara baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

-- BERNAMA