Dewan Rakyat Cadang Kuasa SUHAKAM Diperluas, Gubal Akta Pelarian
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh perlindungan hak asasi manusia, termasuk menggubal Akta Pelarian Malaysia serta memperkasakan kuasa statutori Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Pada sesi perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024, beberapa ahli Parlimen turut membangkitkan cadangan lain antaranya mewajibkan kementerian dan agensi kerajaan memberi maklum balas rasmi terhadap syor SUHAKAM, meningkatkan peruntukan kewangan serta menambah baik mekanisme pemantauan aduan untuk ditangani dengan lebih berkesan.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencadangkan kerajaan mengkaji semula Akta SUHAKAM bagi memperkukuh kuasa statutori suruhanjaya itu, termasuk membolehkannya menjalankan siasatan tanpa notis awal, memperoleh akses lebih luas kepada dokumen dan maklumat serta mempertingkatkan keberkesanan fungsi pemantauannya.
Beliau berkata hampir 60 peratus daripada 1,074 aduan yang diterima SUHAKAM pada 2024 masih dalam siasatan atau menunggu maklum balas daripada agensi berkaitan, selain menggesa setiap kementerian dan agensi memberi respons rasmi terhadap syor yang dikemukakan suruhanjaya itu.
“Kerajaan (perlu) mempercepat pembentangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat serta menambah peruntukan kewangan kepada SUHAKAM supaya suruhanjaya itu dapat melaksanakan mandatnya dengan lebih berkesan, khususnya susulan peningkatan jumlah aduan yang diterima,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berkata jumlah aduan diterima SUHAKAM meningkat daripada 649 pada 2023 kepada 1,074 pada 2024, dengan sebahagian besarnya melibatkan isu pelarian, dokumentasi dan kewarganegaraan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan mekanisme penyelesaian rentas kementerian diwujudkan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan SUHAKAM, selain menjadikan kadar penyelesaian aduan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pula mencadangkan kerajaan menggubal Akta Pelarian Malaysia sebagai kerangka perundangan komprehensif bagi mengawal selia pengurusan pelarian di negara ini termasuk aspek pendaftaran, dokumentasi, hak dan tanggungjawab pelarian serta bidang kuasa kerajaan.
Beliau berkata Malaysia telah menerima pelarian sejak lebih lima dekad, namun sehingga kini masih belum mempunyai undang-undang khusus untuk mengawal selia isu itu, menyebabkan pengurusan pelarian bergantung kepada dasar pentadbiran semasa yang boleh berubah mengikut kerajaan.
Isu berkaitan penjara dan pusat tahanan turut dibangkitkan pada sesi itu yang antara lain menyentuh masalah kesesakan kapasiti fasiliti tahanan, kemudahan yang uzur, kes kematian tahanan serta aspek kebajikan penghuni dan banduan.
Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mempersoalkan keberkesanan modul pemulihan banduan yang tidak dikemas kini lebih 15 tahun sehingga menyebabkan bekas banduan, khususnya penagih dadah kembali melakukan kesalahan.
“Banyak penjara seperti Penjara Taiping dikategorikan sebagai tidak lagi sesuai beroperasi dan dicadangkan untuk diubahsuai menjadi muzium di bawah agenda reformasi penjara,” katanya.
RSN Rayer (PH-Jelutong) pula mempersoalkan isu insiden kematian dalam tahanan serta di pusat latihan tentera, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak seharusnya terus berulang.
Dalam pada itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula serta mempermudah proses permohonan kewarganegaraan, khususnya bagi membantu kanak-kanak dan golongan muda tanpa kewarganegaraan akibat kecuaian ibu bapa.
Beliau berkata kebanyakan permohonan kewarganegaraan oleh ibu warga Malaysia difahamkan telah diluluskan, namun pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara itu yang diluluskan Parlimen pada Disember 2024 masih belum dikuatkuasakan.
Kok berkata keadaan itu menyebabkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia belum memperoleh kewarganegaraan secara automatik, sekali gus memaksa ibu berkenaan kembali ke Malaysia untuk bersalin bagi memastikan anak mereka layak mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Sebanyak 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan usul itu, manakala penggulungan oleh kementerian-kementerian terlibat dijadualkan berlangsung esok.
Terdahulu, usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyeru semua pihak memberikan perhatian terhadap syor, pandangan dan cadangan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Beliau berkata kerajaan mengiktiraf peranan SUHAKAM dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini, selain menyifatkan penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2024 dan penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, sebagai langkah memperkukuh fungsi suruhanjaya itu dalam menangani isu hak asasi yang semakin kompleks.
Menurut Azalina, laporan tahunan itu turut mengetengahkan pelbagai isu melibatkan hak pekerja, kumpulan rentan, kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta isu sosial dan ekonomi yang memerlukan perhatian semua pihak.
“Kerajaan akan terus meneliti syor yang dikemukakan SUHAKAM serta memperkukuh kerjasama dengan semua kementerian, agensi dan pihak berkepentingan bagi memastikan agenda pemajuan dan perlindungan hak asasi manusia terus diperkasakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN: Calon PH DUN Paloh Dirawat Di Hospital Akibat "Slipped Disc"
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB
- Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan
- El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
- Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam