Pekerja, Pemastautin Digalak Tunai Zakat Di Selangor
SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Pekerja atau pemastautin di Selangor digalakkan menunaikan zakat menerusi Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi memastikan hasil kutipan dapat dimanfaatkan kepada golongan asnaf di negeri itu selaras dengan ketetapan syarak dan fatwa yang berkuat kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata masih terdapat pekerja di Selangor yang membuat potongan zakat di negeri asal masing-masing kerana kekeliruan atau kurang pemahaman mengenai ketetapan pembayaran zakat di negeri tempat mereka bekerja atau bermastautin.
Beliau berkata walaupun seseorang itu berasal dari negeri lain, tanggungjawab membayar zakat berpindah ke Selangor apabila mereka memperoleh pendapatan dan bermastautin di negeri itu selaras dengan matlamat zakat yang mengagihkan semula kekayaan kepada masyarakat setempat, sekali gus membolehkan hasil kutipan dimanfaatkan.
“Selangor menjadi tempat mencari rezeki dan bermastautin bagi umat Islam dari seluruh negara manakala penerima manfaat zakat di negeri ini juga terdiri daripada masyarakat pelbagai negeri yang menetap di Selangor.
“Justeru, zakat sewajarnya ditunaikan di negeri tempat seseorang bekerja atau bermastautin bagi memastikan agihan dapat dilaksanakan secara adil kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan ketetapan syarak dan fatwa,” katanya selepas Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2026 di sini hari ini.
Mohd Khaidzir berkata GRASIAZ 2026 dianjurkan bagi menghargai sumbangan rakan strategik Zakat Selangor termasuk majikan, ejen kutipan, institusi pengajian tinggi dan pembayar zakat korporat yang membantu memperluaskan budaya berzakat di negeri itu.
Majlis itu turut meraikan 300 wakil majikan, 115 ejen kutipan, 15 pembayar korporat serta seluruh rakan strategik yang telah bersama Zakat Selangor sepanjang 2025.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Zakat Selangor telah mencatatkan pencapaian yang membanggakan pada tahun lepas melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dengan 5,069 majikan terlibat, dengan jumlah keseluruhan kutipan mencapai RM415.17 juta.
Beliau berkata bagi tahun ini, sasaran kutipan sebanyak RM760 juta melalui saluran SPG dan ejen kutipan bukan sahaja akan membantu ramai asnaf tetapi melahirkan ramai pembayar zakat yang istiqamah serta memperkukuhkan ekonomi ummah.
Mohd Khaidzir berkata jumlah kutipan zakat pada 2025 menerusi ejen mencapai jumlah yang membanggakan, iaitu sebanyak RM279.74 juta melibatkan 132,728 pembayar manakala institusi itu mempunyai 262 ejen kutipan dan lebih 124 rakan kutipan tahun ini.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB
- Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan
- El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
- Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam
- Tashkent Alu-alukan Delegasi Dari Lebih 50 Negara Ke Forum Tamadun Islam