07/07/2026 09:10 PM

Tashkent Alu-alukan Delegasi Dari Lebih 50 Negara Ke Forum Tamadun Islam

Daripada Zarul Effendi Razali

TASHKENT, 7 Julai (Bernama) -- Uzbekistan buat julung kalinya menganjurkan Forum Tamadun Islam Antarabangsa pada 7 hingga 11 Julai ini, yang menghimpunkan kira-kira 300 cendekiawan, pemimpin agama dan pembuat dasar dari lebih 50 negara untuk mempromosikan nilai-nilai keamanan, toleransi dan pencerahan yang berakar umbi dalam tamadun Islam.

Menurut penganjur dalam satu kenyataan, forum bertemakan "Jalan Keamanan, Toleransi dan Pencerahan" itu akan diadakan di Tashkent, Samarkand dan Termez, dengan sesi utama berlangsung di Pusat Tamadun Islam di Uzbekistan.

Antara yang hadir termasuk Ketua Pengarah ICESCO Dr Salim AlMalik, Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia Muhammad Al-Issa, Putera Hassan bin Talal dari Jordan, Mufti Muslim Rusia Ravil Gaynutdin, Setiausaha Agung Pertubuhan Negeri-Negeri Turki Kubanychbek Omuraliev dan Setiausaha Agung TURKSOY Sultan Rae

Malaysia akan diwakili Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli Hasan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, Mufti Perlis Datuk Dr Muhammad Asri Zainul Abidin dan Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shukran Abdul Rahman.

Dianjurkan oleh Pusat Tamadun Islam di Uzbekistan dengan kerjasama institusi kebangsaan dan antarabangsa, termasuk ICESCO, forum itu bertujuan mengetengahkan sumbangan Islam kepada sains, budaya dan kerohanian sambil menggalakkan dialog dan persefahaman bersama antara tamadun.

Ucapan tahniah daripada Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah dibacakan pada majlis perasmian, sementara para perwakilan mengambil bahagian dalam 11 sesi pleno yang merangkumi topik seperti kesarjanaan Islam, pemeliharaan dan pendigitalan manuskrip, warisan budaya, pendidikan dan sumbangan masyarakat Turki kepada tamadun Islam.

Program turut merangkumi pembentangan penerbitan baharu, inisiatif warisan digital dan aplikasi kecerdasan buatan untuk mengenali manuskrip Arab, di samping pameran legasi sejarah dan budaya Uzbekistan.

Empat persidangan saintifik antarabangsa yang dikhaskan untuk legasi Imam al-Bukhari, Imam Maturidi dan Imam Termizi juga akan diadakan di Samarkand dan Termez, dengan peserta dijangka melawat beberapa mercu tanda sejarah dan keagamaan.

Menurut penganjur, forum dibangunkan berdasarkan inisiatif yang diumumkan oleh Presiden Mirziyoyev di Perhimpunan Agung PBB pada 2017 untuk mempromosikan warisan saintifik dan kerohanian tamadun Islam serta menggalakkan kerjasama antarabangsa yang lebih besar.

Perhimpunan itu juga akan menjadi perintis kepada pembentangan khas mengenai tamadun Islam yang dirancang akhir tahun ini di ibu pejabat PBB di New York dan Geneva, serta di ibu pejabat UNESCO di Paris.

Forum dijangka berakhir dengan Deklarasi Tashkent, pengesahan pelan tindakan pembangunan Pusat Tamadun Islam 2027-2030 dan pemeteraian perjanjian kerjasama antara organisasi antarabangsa, pusat penyelidikan dan institusi kebudayaan.

-- BERNAMA