TalentCorp Lancar Kohort Terbesar Win, Bina Pemimpin Wanita Masa Depan
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Sebanyak 500 wanita muda dipilih menyertai kohort program Women-Industry Network (WIN) di bawah inisiatif Wanita MyWira anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemimpin wanita serta penyertaan golongan itu dalam tenaga kerja.
TalentCorp dalam kenyataan hari ini memaklumkan, 500 peserta berkenaan dipilih daripada lebih 700 permohonan, menjadikannya kohort WIN terbesar sejak program itu diperkenalkan pada 2021.
Menurut agensi itu, program bimbingan selama lima minggu itu menghimpunkan pelajar tahun akhir universiti dan graduan daripada lebih 50 universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kolej vokasional dan profesional muda dari seluruh negara.
Sepanjang program, peserta akan dibimbing oleh 61 mentor dalam kalangan pemimpin dan profesional berpengalaman daripada pelbagai industri bagi memberikan pendedahan kerjaya, panduan praktikal serta akses kepada jaringan profesional yang bernilai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi berkata usaha memperkasakan wanita untuk maju dalam kerjaya penting bagi memperkukuh kumpulan bakat negara dan daya saing ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
“Malaysia tidak akan dapat merealisasikan sepenuhnya potensi bakat negara sekiranya wanita masih berdepan halangan untuk maju dalam kerjaya dan mendapat akses kepada peluang kepimpinan.
“Melalui WIN, kami menghubungkan bakat muda dengan pemimpin industri berpengalaman yang dapat memberi bimbingan, dorongan dan pandangan praktikal bagi membantu lebih ramai wanita membina kerjaya yang bermakna, mampan dan berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau berkata sebagai badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), TalentCorp komited menterjemahkan keutamaan tenaga kerja negara kepada inisiatif praktikal yang memberikan impak kepada pembangunan bakat Malaysia.
Program itu turut menyokong aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) kepada 60 peratus menjelang 2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI, menerusi usaha memperkukuh kesiapsiagaan kerjaya dan keupayaan kepimpinan wanita.
Menurut TalentCorp, pihaknya akan terus memperkukuh rangkaian alumni WIN, memperluas kerjasama bersama industri serta meneroka lebih banyak program susulan termasuk lawatan industri, sesi jaringan wanita dan pendedahan kepada sektor berpertumbuhan tinggi.
Majlis Konvokesyen WIN Kohort Ke-12 Wanita MyWira 2026 itu dijadualkan berlangsung pada 27 Julai ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB
- Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan
- El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
- Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam
- Tashkent Alu-alukan Delegasi Dari Lebih 50 Negara Ke Forum Tamadun Islam