07/07/2026 07:33 PM

FGV Perluas Percubaan Biodiesel B100 Pada Operasi Perladangan

MARAN, 7 Julai (Bernama) -- FGV Holdings Berhad (FGV) memperluas percubaan penggunaan Biodiesel B100 (B100) kepada operasi perladangan bagi menilai prestasi teknikal dan kebolehlaksanaan biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit tempatan dalam persekitaran operasi sebenar.

Pengerusinya Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata langkah itu mencerminkan komitmen FGV untuk terus meneroka potensi baharu minyak sawit menerusi inovasi, yang dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berasaskan bukti.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kekuatan sebagai antara pengeluar utama minyak sawit di dunia. 

"Dalam landskap global yang semakin mencabar termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan dan pasaran tenaga, komoditi strategik ini mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara serta memperkukuh daya saing industri sawit," katanya menerusi kenyataan, hari ini.  

Abu Huraira berkata keputusan kerajaan meningkatkan adunan biodiesel kepada B20 turut mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui berasaskan sumber tempatan.

"FGV menyambut baik aspirasi tersebut dan akan terus memainkan peranannya melalui penilaian operasi yang bertanggungjawab bagi menyokong pembangunan industri biofuel negara," katanya.

Beliau berkata usaha berkaitan juga bukan sekadar menilai kebolehgunaan B100, malah mencerminkan komitmen FGV mewujudkan nilai tambah daripada minyak sawit melalui inovasi yang menyokong pembangunan industri, memperkukuh ekosistem Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta memberikan manfaat kepada warga peneroka.

Difahamkan, percubaan selama enam bulan itu dijalankan di ladang Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTAR), Jerantut, yang melibatkan kira-kira 17 aset termasuk traktor, jentera pertanian, penjana elektrik serta kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam operasi harian ladang.

Pelaksanaan percubaan itu juga dilaksanakan secara berperingkat dengan setiap aset dipantau menerusi analisis teknikal meliputi penggunaan bahan api, prestasi enjin, kebolehpercayaan operasi, keperluan penyelenggaraan dan kualiti bahan api, selain semua aset menjalani pemeriksaan awal bagi mewujudkan garis dasar prestasi.

"Operasi perladangan dipilih kerana menawarkan persekitaran operasi yang lebih mencabar termasuk penggunaan jentera secara berterusan, keadaan muka bumi yang pelbagai, suhu operasi tinggi serta beban kerja berbeza mengikut jenis aset.

"Ini sekali gus membolehkan data operasi sebenar dikumpulkan secara lebih menyeluruh," katanya.

Majlis pelancaran inisiatif itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, hari ini.

Menurut FGV, pemilihan Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA 2026 sebagai platform pelancaran mencerminkan komitmen syarikat memperkukuh rantaian nilai sawit bersama komuniti peneroka, dengan bekalan Buah Tandan Segar (BTS) daripada warga FELDA menjadi asas kepada pembangunan pelbagai produk bernilai tambah termasuk Biodiesel B100.

-- BERNAMA