06/07/2026 07:18 PM

KDEBWM Serah 33 Lori Kompaktor Baharu Kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 6 Julai (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini menyerahkan 33 lori kompaktor baharu bagi mengukuhkan perkhidmatan kutipan sisa domestik di bawah Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), susulan pelaksanaan kontrak baharu selama tujuh tahun bermula 1 Julai.

Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata 33 lori kompaktor itu, terdiri daripada 18 lori Isuzu, lima lori Mitsubishi Fuso dan 10 lori UD Trucks yang dilengkapi dengan spesifikasi operasi terkini, bagi meningkatkan kecekapan kutipan sisa domestik serta memastikan operasi dijalankan secara lebih sistematik, selamat dan mesra alam, selaras dengan pelaksanaan kontrak baharu sehingga 30 Jun 2033.

“Kami diberi kepercayaan sekali lagi untuk meneruskan perkhidmatan bagi tempoh tujuh tahun sehingga tahun 2033, sebelum ini kontrak pertama kami dengan MPHS bermula 2018 dan berakhir pada 30 Jun.

“Berbanding tujuh tahun lepas, kami berjaya mengutip 100 hingga 150 tan sisa sehari, namun sekarang sudah meningkat kutipan sisa antara 150 hingga 250 tan sehari dan mungkin mencecah sehingga 300 tan sehari,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 33 buah lori kompaktor baharu di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Julaihah Jamaludin.

Sementara itu, Julaihah berkata kerjasama MPHS dan KDEBWM bagi perkhidmatan kutipan sisa domestik itu, melibatkan kontrak bernilai RM117.2 juta untuk tempoh tujuh tahun, dengan kos kira-kira RM16.7 juta setahun.

Beliau berkata MPHS turut bekerjasama dengan KDEBWM, bagi memastikan sisa industri yang dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Hulu Selangor, dikutip syarikat di bawah panel konsesi.

Julaihah berkata sistem kutipan sisa pepejal dari pintu ke pintu turut dilaksanakan bermula 1 Julai, dengan kontraktor KDEBWM mengutip sisa terus dari hadapan rumah atau premis, mengikut jadual ditetapkan.

“Sehubungan dengan itu, penggunaan tong sampah berpusat akan dihentikan dan setiap penduduk diwajibkan menyediakan tong sampah bertutup berkapasiti minimum 120 liter, yang dilabelkan dengan nombor rumah atau lot premis bagi mengelakkan kekeliruan.

“Semua sisa domestik perlu dimasukkan ke dalam plastik sampah dan diikat kemas sebelum dibuang ke dalam tong, manakala penutup tong hendaklah sentiasa ditutup rapat bagi mengelakkan gangguan haiwan terbiar serta limpahan air hujan,” katanya.

-- BERNAMA