JBMKKS Lancar Program Rintis Mediasas Akhir Julai, Peringkat Nasional Pada 2027
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan melancarkan program rintis MediAsas pada akhir bulan ini, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam penyediakan asas bagi pelaksanaan peringkat nasional pada Januari 2027.
Dalan kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan MediAsas dijangka berperanan penting dalam mencorakkan semula landskap pembiayaan penjagaan kesihatan swasta serta menyokong transformasi kesihatan jangka panjang secara menyeluruh.
JBMKKS yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga bersetuju untuk menetapkan MediAsas sebagai jenama bagi Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), satu inisiatif utama di bawah kerangka RESET yang bertujuan memberi akses kepada perlindungan perubatan lebih mampu milik dan mampan jangka panjang bagi rakyat Malaysia.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Amir Hamzah berkata MediAsas bakal menyediakan asas yang kukuh bagi menyokong reformasi pembiayaan kesihatan jangka panjang, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam menawarkan perlindungan perubatan yang mampu milik di samping memastikan kemampanan ekosistem pembiayaan kesihatan Malaysia
Beliau berkata menerusi kriteria kelayakan lebih luas serta ciri-ciri produk yang tersendiri, MediAsas direka untuk kekal mampu milik dari semasa ke semasa, sekali gus memperluas akses kepada perlindungan perubatan bagi segmen masyarakat Malaysia yang lebih besar.
“Program rintis ini penting bagi memastikan peluncuran MediAsas ke seluruh negara pada 2027 dapat berjalan lancar serta memberikan pengalaman pelanggan yang bersepadu,” kata beliau.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata MediAsas merupakan satu langkah signifikan bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.
“Disokong oleh langkah-langkah pembendungan kos, termasuk pelaksanaan secara berperingkat sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) di hospital swasta, usaha ini akan membantu mengekalkan kos penjagaan kesihatan yang lebih mampan dari semasa ke semasa dengan memberi penekanan yang lebih tinggi terhadap penjagaan berasaskan nilai.
“Bersama-sama dengan reformasi kesihatan lebih meluas, MediAsas akan memperkukuh keyakinan pengguna serta menyokong hasil kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.
Selain itu, MOF memaklumkan MediAsas yang menyediakan perlindungan untuk individu sehingga 85 tahun, akan ditawarkan sebagai pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful berasingan (standalone) merangkumi dua pilihan produk iaitu MediAsas Teras (pelan standard) dan MediAsas Fleksi (pelan standard-plus).
“Bagi menyokong tadbir urus MediAsas pada masa hadapan serta memastikannya kekal menjadi platform perubahan yang stabil, JBMKKS juga dalam proses menubuhkan sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas bagi menyediakan pemantauan berterusan demi melindungi kepentingan pengguna selepas pelaksanaan penuhnya kelak.”
Program rintis MediAsas akan dilaksanakan di Lembah Klang pada akhir Julai hingga Oktober 2026, dengan penyertaan enam syarikat insurans dan pengendali takaful serta hospital-hospital swasta terpilih.
Menurut MOF, enam syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian adalah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Etiqa Family Takaful Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd.
Kementerian itu turut memaklumkan secara indikatif, premium dijangka kekal dalam lingkungan sasaran bulanan sekitar RM60 hingga RM550 bagi individu yang mana umur penyertaan adalah sehingga 70 tahun dan penetapan harga muktamad akan disahkan menjelang peluncuran di peringkat nasional.
“Program rintis ini bertujuan mengesahkan kesediaan operasi yang menyeluruh, termasuk integrasi sistem, pengalaman pelanggan serta proses operasi dalam persekitaran yang terkawal dengan maklumat serta dapatan dikumpul daripada program rintis ini akan membantu memperhalusi aturan pelaksanaan menjelang peluncuran di peringkat nasional pada Januari 2027,” menurut MOF.
Selain itu, JBMKKS akan terus memacu inisiatif utama di bawah kerangka RESET termasuk penerapan kesihatan digital dan kebolehoperasian rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN); memodenkan pelesenan penjagaan kesihatan swasta melalui semakan komprehensif terhadap proses pelesenan dan pendaftaran yang menyeluruh di bawah Akta 586; dan mempertingkatkan ketelusan penyediaan bil menerusi kerjasama erat antara hospital swasta, syarikat insurans, pengendali takaful, dan pihak kawal selia.
“Perkembangan lanjut akan diumumkan selepas tamatnya program rintis itu menjelang peluncuran di peringkat nasional,” menurut MOF.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron