Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penerapan nilai kenegaraan perlu terus diperkukuh bagi melahirkan insan yang berjati diri, berintegriti dan berpegang kepada nilai-nilai murni demi mengangkat martabat Malaysia.
Beliau berkata usaha itu penting bagi menyemai semangat cintakan negara menerusi pembentukan masyarakat yang berteraskan nilai kenegaraan.
“Dalam Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang saya pengerusikan hari ini, saya menekankan kepentingan penerapan nilai kenegaraan agar semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan rakyat,” kata beliau dalam hantaran menerusi Facebook, malam ini.
Anwar berkata beliau turut mendengar taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan serta mendapat sambutan amat baik daripada peserta dan ibu bapa.
“Program ini wajar terus diperkasakan sebagai wadah membina jati diri, disiplin serta ketahanan rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut mengetengahkan peranan Felo Kenegaraan yang menghimpunkan tokoh dan negarawan daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang idea ke arah memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron