PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
KOTA BHARU, 6 Julai (Bernama) -- Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan migran selepas menahan 10 warga asing, termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai bertindak sebagai tekong, di Jalan Kampung Kubang Bemban, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 22 Jun lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata anggota yang melakukan rondaan mengesan sebuah kereta jenis Honda Accord dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan itu hingga terbabas ke kawasan semak.
Beliau berkata polis kemudian memecahkan cermin kenderaan dan menahan suspek selepas berlaku pergelutan.
"Pemeriksaan menemukan sembilan warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, terdiri daripada tujuh warga China dan dua warga Myanmar berusia antara 22 hingga 31 tahun, manakala pemandu berusia 25 tahun didapati positif methamphetamine.
"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit mengaku menerima upah RM150 bagi setiap migran daripada seorang lelaki di Tak Bai, Thailand sejak Januari lepas. Semua migran dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sekitar Sungai Golok dan dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian berdasarkan rampasan 22 telefon bimbit serta sebuah komputer riba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata polis turut merampas kereta tersebut serta sebuah komputer riba, sebuah pasport warga China dan sekeping kad pengenalan warga Thailand dengan nilai keseluruhan rampasan RM77,100.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun dan merampas 1,530 kilogram minyak masak peket yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand di Pengkalan Haram Mat Yeh, Jeram Perdah, Pasir Mas pada 30 Jun lepas.
Ahmad Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan dianggarkan RM33,825 termasuk sebuah jip Mitsubishi Pajero.
--BERNAMA
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron