Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Kenderaan jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan aset sedia ada milik kerajaan dan bukannya kenderaan rasmi baharu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan kenderaan itu merupakan aset di bawah seliaan BIUPA yang dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara.
Menurut kenyataan itu, aset berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan protokol dan standard keselamatan antarabangsa sepanjang lawatan rasmi ketua negara serta ketua kerajaan bertaraf presiden atau perdana menteri ke Malaysia.
“Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka khas bagi menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.
“Penggunaan kenderaan itu oleh Perdana Menteri adalah bersifat sementara atas nasihat serta penilaian keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut hantaran itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan pertukaran sementara berkenaan dibuat kerana kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani proses penyelenggaraan berkala.
Penjelasan itu dibuat bagi menafikan dakwaan serta spekulasi yang tular di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan berkenaan yang digunakan Perdana Menteri.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron