06/07/2026 10:57 PM

Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Syarikat Perancis, Carester hari ini memaklumkan rancangannya untuk membina loji pengasingan nadir bumi di Perak, menerusi usaha sama (JV) selama 10 tahun dengan Malaco Mining Sdn Bhd (Malaco).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Frederic Carencotte berkata kerjasama itu yang kali pertama diumumkan pada Januari, akan merangkumi pemindahan teknologi mengenai nadir bumi daripada Carester kepada Malaco. 

“Malaysia mempunyai simpanan nadir bumi. Ini adalah perkongsian situasi yang saling menguntungkan. 

“Kami (Carester) akan membawa teknologi dan mengambil nadir bumi,” katanya pada sidang media di Kedutaan Perancis di sini pada Isnin. 

Carencotte berkata Carester akan beroperasi di lokasi berbeza di Malaysia bergantung kepada simpanan nadir bumi dan lokasinya akan dikenal pasti oleh Malaco. 

Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia Marc Abensour yang turut menghadiri sidang media itu berkata Malaysia dan Perancis sedang menikmati hubungan geopolitik yang kukuh dan cita-cita yang sama, sekali gus membawa hubungan dua hala ke peringkat seterusnya. 

Duta itu berkata momentum yang positif dalam hubungan Perancis-Malaysia itu adalah susulan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Paris pada Julai tahun lepas. 

“Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur sedang membuat persiapan untuk lawatan Menteri Perdagangan Luar Negeri dan Daya Tarikan Ekonomi, Nicolas Forissier, ke Malaysia pada Rabu.

“Lawatan ini akan memperkukuhkan hubungan antara Perancis dan Malaysia,” kata Abensour.

-- BERNAMA