Penjagaan Mata Sepanjang Hayat: Mengenali Masalah Penglihatan Pada Semua peringkat Usia
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Saringan mata pada peringkat awal usia adalah penting bagi mengesan keadaan seperti juling dan katarak untuk mengelakkan masalah penglihatan yang kekal, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Pakar Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Fazilawati A Qamarruddin berkata juling atau strabismus serta katarak antara masalah mata paling lazim tetapi sering diabaikan dalam kalangan rakyat merentasi pelbagai peringkat umur.
Beliau berkata juling berlaku apabila kedudukan mata tidak selari dan memandang ke arah yang berbeza, dan sebelah mata mungkin memandang lurus, manakala sebelah lagi tertumpu ke dalam, luar, atas atau bawah, sekali gus menjejaskan penglihatan, persepsi kedalaman, pembelajaran, serta keyakinan diri.
“Ia sering berpunca daripada ralat biasan yang tidak dirawat tetapi boleh juga disebabkan oleh masalah saraf, atau defisit neurologi, trauma, dan tumor pada otak atau orbit.
“Dalam kalangan orang dewasa, juling boleh berterusan sejak kecil atau muncul tiba-tiba. Jika mengalami penglihatan berganda, segera dapatkan pemeriksaan doktor terutamanya untuk mengecualikan sebarang tumor pada otak dan orbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Fazilawati berkata secara global, kajian menganggarkan antara dua peratus dan empat peratus kanak-kanak menghidap strabismus.
Walaupun angka ini nampak kecil, namun ia melibatkan ribuan kanak-kanak dan kebanyakan kes tidak dikesan sehingga prestasi akademik atau keyakinan sosial terjejas.
Beliau berkata juling yang tidak dirawat ialah ambliopia, atau lebih dikenali sebagai ‘mata malas’, iaitu. apabila otak mula mengutamakan mata yang lebih kuat, dan lama-kelamaan mata yang lemah kurang dirangsang.
Maka disebabkan itu, beliau berkata saringan awal adalah amat kritikal dan sebaiknya dibuat pada usia tiga tahun dan sekali lagi sebelum masuk ke sekolah.
Kajian menunjukkan bahawa ralat biasan adalah antara masalah mata yang paling lazim dan boleh dirawat dengan mudah menggunakan cermin mata jika dikesan awal.
"Jika anak anda sengetkan kepala, kerap mengecilkan mata, duduk terlalu dekat dengan TV, atau mengadu sakit kepala, jangan tunggu pihak sekolah untuk menegurnya.
“Bawalah anak anda untuk pemeriksaan mata yang lengkap. Pengesanan awal boleh menjadi perbezaan antara hanya perlu memakai cermin mata biasa atau berdepan masalah penglihatan seumur hidup," katanya.
Mengenai katarak, Dr Fazilawati berkata ia perkara lazim biasa dalam kalangan warga emas, iaitu satu keadaan yang menyebabkan penglihatan kabur, silau, warna kelihatan pudar, dan kesukaran memandu pada waktu malam.
Walaupun kebanyakannya melibatkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, namun ia boleh berlaku lebih awal bagi pesakit diabetes, perokok, atau mereka yang kerap terdedah kepada cahaya matahari.
“Pembedahan katarak moden kini jauh lebih maju daripada yang disangkakan. Teknik fakoemulsifikasi (phacoemulsification) hari ini menggunakan ultrabunyi untuk memecahkan kanta yang keruh melalui hirisan kecil.
"Oleh kerana prosedur ini melibatkan hirisan yang lebih kecil, pemulihan secara amnya lebih cepat dan banyak kes boleh dilakukan sebagai pembedahan harian. Kebanyakan pesakit boleh kembali melakukan aktiviti ringan dalam masa seminggu, dengan pemulihan visual penuh biasanya dalam tempoh dua minggu," jelas Dr Fazilawati.
Pendedahan UV yang berlebihan juga boleh meningkatkan risiko katarak dan masalah penglihatan lain, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja, selain boleh menyebabkan masalah rabun jauh yang semakin teruk.
Beliau menasihatkan orang ramai mengamalkan peraturan mudah 20-20-20, iaitu setiap 20 minit melihat skrin, dan kemudian melihat sesuatu sejauh 20 kaki selama 20 saat.
Dr Fazilawati turut menggesa golongan dewasa menjalani pemeriksaan mata bermula usia 40 tahun, dan bagi kanak-kanak sebelum persekolahan bermula, manakala mereka yang menghidap diabetes perlu menjalani saringan tahunan memandangkan retinopati diabetik bersifat progresif tetapi boleh dirawat jika dikesan awal.
“Pengesanan awal membantu meningkatkan pembelajaran, keupayaan berdikari, dan kualiti hidup. Menangguhkan pemeriksaan boleh menyebabkan terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan yang mudah,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron
- Fahmi Ucap Tahniah Kepada Adelia-Adania Rangkul Gelaran Juara Boling Remaja Dunia
- Jangan Tular Kes Lama Isu Azan Di Sungai Buloh - Polis