Fahmi Ucap Tahniah Kepada Adelia-Adania Rangkul Gelaran Juara Boling Remaja Dunia
KUALA LUMPUR, 6 Julai -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada skuad boling remaja negara selepas menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk merangkul semula gelaran juara acara beregu wanita pada Kejohanan Boling Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Kuching, Sarawak hari ini.
Menerusi hantaran dalam Facebook, beliau menzahirkan penghargaan kepada gandingan Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan, yang menghadiahkan gelaran juara beregu wanita buat negara.
"Syabas dan tahniah, wira muda negara! Well done, champions! We are proud of you (Syabas, para juara! Kami bangga dengan anda)," katanya.
Pada perlawanan akhir di Megalanes Sarawak itu, pasangan negara menewaskan wakil Amerika Syarikat, Erin Klemencic dan Elizabeth Teuber, 2-0 (244-181, 207-201).
Kejayaan itu menyaksikan Adelia dan Adania mengulangi pencapaian Esther Cheah-Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, yang menghadiahkan gelaran sulung dunia beregu wanita buat Malaysia pada edisi 2006 di Berlin, Jerman.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad negara merangkul satu lagi pingat emas bagi acara berpasukan campuran, yang turut dibarisi oleh Aiman Syahin dan Ethan Damien bersama-sama Adelia dan Adania.
Terdahulu, Adelia dan Adania turut membantu skuad wanita meraih pingat gangsa acara berpasukan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron