06/07/2026 10:16 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Menjejaki Keuntungan Dalam Soya Dan Olein

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini selepas dirangsang oleh prestasi lebih kukuh dalam minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan niaga hadapan olein sawit Bursa Komoditi Dalian China, kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata momentum menaik itu mencerminkan sentimen yang bertambah baik di seluruh pasaran minyak sayuran, dengan peniaga mengambil petunjuk daripada keuntungan dalam pasaran luar utama.

“Kami melihat harga disokong pada paras RM4,500 satu tan dan rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak bulan semerta Julai 2026 meningkat RM46 kepada RM4,485 satu tan, Ogos 2026 naik RM65 kepada RM4,523 dan September 2026 melonjak RM70 kepada RM4,550 satu tan.

Oktober 2026 bertambah sebanyak RM67 kepada RM4,572 satu tan, November 2026 menyaksikan peningkatan kepada RM4,594 dan Disember 2026 naik RM57 kepada RM4,616 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,610 lot berbanding 71,942 lot yang dicatatkan semasa Jumaat, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 288,418 kontrak daripada 289,382 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan menokok sebanyak RM50 kepada RM4,520 satu tan.

-- BERNAMA

 

Kata kunci