Indonesia Sasar US$5.8 Bilion Dalam Pelaburan Hijau Menerusi Pasaran Karbon
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 6 Julai (Bernama) -- Instrumen Nilai Ekonomi Karbon (NEK) Indonesia dijangka menarik sehingga US$5.8 bilion (US$1=RM4.08) dalam pelaburan hijau dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dianggarkan 570 juta tan setara karbon dioksida (CO2).
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan, Zulkifli Hasan berkata pembiayaan inovatif diperlukan untuk menyokong tindakan iklim, dengan instrumen NEK diunjurkan memacu pelaburan hijau serta menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara itu.
“Oleh itu, mitigasi perubahan iklim bukan sekadar agenda alam sekitar. Ia adalah agenda untuk daya tahan ekonomi, keselamatan makanan dan kedaulatan masa depan negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Karbon Perhutanan Indonesia, di sini pada Isnin.
Zulkifli berkata usaha menangani perubahan iklim pada masa ini merangkumi purata hanya 3.5 peratus daripada belanjawan tahunan Indonesia, dengan hanya 0.7 peratus diperuntukkan untuk pemulihan dan pemuliharaan hutan, sekali gus menekankan keperluan terhadap mekanisme pembiayaan inovatif selain daripada pembiayaan awam.
Beliau berkata salah satu sasaran utama kerajaan ialah pelancaran Sistem Pendaftaran Unit Karbon (SERUK) pada 9 Julai depan, disifatkannya sebagai tulang belakang infrastruktur karbon republik itu.
Sementara itu, Utusan Khas Presiden bagi Tenaga dan Iklim, Hashim Djojohadikusumo berkata kerajaan telah mengenal pasti 12.7 juta hektar hutan yang terjejas untuk pemulihan dalam beberapa tahun akan datang di bawah program yang dimulakan oleh Presiden Prabowo Subianto.
Beliau berkata program pemulihan itu boleh menjadi satu lagi sumber projek pasaran karbon, dengan pelabur dipelawa untuk membiayai pemulihan hutan terdegradasi bagi mendapatkan kredit karbon melalui mekanisme perdagangan karbon Indonesia.
“Pelabur dialu-alukan untuk melabur dalam pembinaan semula dan pemulihan 12.7 juta hektar kawasan berkenaan, dan sebagai timbal balas kepada pelaburan mereka, pelabur layak menerima kredit karbon melalui mekanisme karbon yang sedia ada pada hari ini,” katanya pada majlis yang sama.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron