PM Anwar Ucap Tahniah Kepada 17 Pelajar Malaysia Rangkul 22 Pingat Di KEO 2026
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 17 pelajar Malaysia yang mengharumkan nama negara, apabila merangkul sembilan anugerah keseluruhan dan membawa pulang 22 pingat dalam pertandingan Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau, yang berakhir semalam.
“Tahniah anak-anak Malaysia yang catat keputusan cemerlang di bumi Macau. Tingkatkan usaha, moga catat lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, insya-Allah,” kata beliau menerusi catatan di platform X hari ini.
Terdahulu, Penyelaras Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO), yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Macau Aidah Misran berkata secara keseluruhan, kontinjen Malaysia membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.
Pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group serta diselaraskan di Malaysia oleh MYSO, menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam Olympiad Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.
KEO ialah platform pertandingan antarabangsa yang dibangunkan pakar pendidikan Australia merangkumi empat disiplin, iaitu bahasa Inggeris yang menguji bacaan, ejaan dan penulisan peserta, matematik (penaakulan logik), sains (pemerhatian, reka bentuk eksperimen dan tafsiran data) serta seni (karya seni dan pernyataan artis).
-- BERNAMA
Berita terkini
- Indonesia Sasar US$5.8 Bilion Dalam Pelaburan Hijau Menerusi Pasaran Karbon
- Penjagaan Mata Sepanjang Hayat: Mengenali Masalah Penglihatan Pada Semua peringkat Usia
- JBMKKS Lancar Program Rintis Mediasas Akhir Julai, Peringkat Nasional Pada 2027
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta