06/07/2026 09:02 PM

Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd membeli Wisma Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada harga RM160 juta.

Syarikat itu merancang untuk membangunkan semula tapak berkenaan sebagai pembangunan bercampur premium yang dijangka mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu menyatakan unit milik penuhnya, Sime Darby Property (KLGCC Resort) Sdn Bhd, menerima surat tawaran mengikat daripada PNB bagi cadangan pembelian hartanah pegangan bebas seluas 0.59 hektar di sepanjang Jalan Tun Razak berkenaan.

“Pembangunan yang dicadangkan itu disasar untuk dilancarkan pada 2028 dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun dari tarikh pelancarannya,” menurut Sime Darby Property.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata pembelian Wisma UNIRAZAK merupakan satu pencapaian penting untuk kumpulan itu, sekali gus menandakan penyertaan mereka ke dalam pasaran Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC).

“Terletak dalam koridor Jalan Tun Razak-KLCC, ia memperkukuh kedudukan kumpulan dalam kawasan bandar utama dan memberikan peluang yang jarang ditemui untuk membuka nilai potensi jangka panjang daripada tapak yang sangat strategik dan tanah yang terhad,” katanya.

-- BERNAMA