06/07/2026 09:10 PM

RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada 2026 dengan potensi peningkatan sederhana, disokong prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan domestik yang berdaya tahan serta risiko luaran yang semakin reda, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, RHB IB memaklumkan momentum pertumbuhan negara kekal utuh meskipun berdepan cabaran luaran, dipacu indikator frekuensi tinggi yang kukuh, khususnya eksport dan pengeluaran perindustrian.

Permintaan domestik dijangka terus berdaya tahan berikutan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan pertumbuhan pendapatan yang stabil, manakala pelaburan swasta kekal mampan dipacu pendigitalan serta pelaburan berterusan dalam sektor pembuatan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pelaburan awam pula akan terus disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur berkaitan utiliti, tenaga dan pengangkutan.

RHB IB kekal positif terhadap prospek eksport negara, disokong permintaan luaran yang berdaya tahan serta kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) sejajar kitaran teknologi yang meningkat dan pelaburan dipacu kecerdasan buatan (AI).

Dari sudut sektoral, pertumbuhan dijangka kekal meluas, dengan sektor berorientasikan pengguna disokong perbelanjaan isi rumah, sektor pembuatan mendapat manfaat daripada permintaan E&E serta peralihan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, manakala sektor pembinaan kekal kukuh dipacu pembangunan industri, logistik dan infrastruktur.

Bagaimanapun, RHB IB memberi amaran pertumbuhan ekonomi berpotensi perlahan kepada 4.0 peratus sekiranya ketegangan geopolitik kembali memuncak pada separuh kedua 2026.

Dari segi inflasi, bank pelaburan itu mengekalkan unjuran inflasi utama 2026 pada 2.1 peratus, dengan tekanan harga jangka terdekat yang sederhana berikutan harga minyak mentah yang lebih rendah serta penstabilan bekalan tenaga global, namun menegaskan risiko kos huluan perlu terus dipantau.

Bagi dasar monetari, RHB IB menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus sepanjang 2026, namun tidak menolak kemungkinan kenaikan 25 mata asas sekiranya inflasi melepasi julat unjuran rasmi antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Dari segi mata wang, ringgit dijangka menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat kepada sekitar 4.00 hingga 4.05 menjelang akhir 2026, sejajar jangkaan penilaian semula dasar Federal Reserve yang semakin reda apabila tekanan inflasi tenaga dan premium risiko geopolitik berkurangan.

-- BERNAMA