Dewan Rakyat Lulus RUU Persaingan (Pindaan) 2026
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 dengan pindaan pada peringkat jawatankuasa.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengemukakan pindaan kecil melibatkan Fasal 22 RUU itu.
Beliau berkata pindaan berkenaan bagi membetulkan kesilapan tipografi dalam perenggan F berhubung sebutan daripada subseksyen yang dinomborkan semula.
Pada Khamis lepas, sebanyak 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan RUU itu yang kemudiannya diluluskan pada peringkat dasar.
RUU Persaingan (Pindaan) 2026 mencadangkan pengukuhan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan susulan peningkatan penggunaan teknologi dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.
RUU yang membabitkan 34 fasal itu antara lain membuat pindaan terhadap Seksyen 24 dengan memperuntukkan kesalahan jenayah bagi cubaan memusnahkan, menyembunyikan, mencacatkan atau mengubah rekod dan data bagi menghalang penyiasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Sementara, ketika membentangkan RUU Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua, Armizan berkata fungsi pentadbiran dan skop kuasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan diperkemas.
Beliau berkata susulan RUU Persaingan (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, terdapat keperluan pindaan lanjut kepada Akta MyCC 2010 bagi memastikan keseluruhan kerangka perundangan persaingan negara, dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.
“Pindaan ini bukanlah bertujuan untuk meluaskan kuasa MyCC tanpa had, sebaliknya memperkemas mandat yang diberikan oleh kerajaan, selaras dengan keperluan semasa pentadbiran MyCC serta cabaran penguatkuasaan dan penyiasatan yang semakin kompleks,” katanya.
Armizan berkata akta itu yang berkuat kuasa sejak 2011, mewujudkan MyCC sebagai badan berkanun persekutuan yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, menjalankan penyiasatan serta menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap larangan di bawah akta berkenaan.
Beliau berkata dengan kerangka pentadbiran yang lebih jelas dan tersusun, MyCC akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap, responsif dan berkesan, dalam menguatkuasakan undang-undang persaingan di Malaysia.
Antara pindaan utama yang dicadangkan ialah pertukaran nama Suruhanjaya Persaingan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia, selaras dengan penamaan badan berkanun lain di negara ini.
Selain itu, pindaan berkenaan memperjelas fungsi MyCC dalam memberi nasihat kepada menteri serta pihak berkuasa atau badan pengawal selia berkaitan dasar, tatacara dan program persaingan.
Armizan berkata pindaan pada Seksyen 17, mencadangkan pemberian kuasa kepada MyCC untuk mengenakan penalti kewangan, caj bayaran lewat serta fi dan caj pentadbiran, berkaitan pelaksanaan fungsi dan perkhidmatannya.
“Selain itu, RUU ini memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan suruhanjaya mewakilkan fungsi dan kuasa tertentu kepada pengerusi, pegawai atau pekerjanya, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata pindaan turut melibatkan prosedur pelantikan pegawai penyiasat, peluasan skop obligasi kerahsiaan, supaya meliputi perkara berkaitan Akta Persaingan (Pindaan) 2026 serta peruntukan pengecualian dan peralihan, susulan pertukaran nama Suruhanjaya Persaingan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Susulan Kenaikan Niaga Hadapan Serantau
- Maybank IBG Semak Naik Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Kepada 4.9 Peratus
- Anwar Gesa FELDA Segera Selesai Isu Perumahan Generasi Kedua, Pemilikan Tanah
- Gempa Bumi Sederhana Landa Mindanao, Filipina
- PM Anwar Ucap Tahniah Kepada 17 Pelajar Malaysia Rangkul 22 Pingat Di KEO 2026