Maybank IBG Semak Naik Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Kepada 4.9 Peratus
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi keseluruhan 2026 kepada 4.9 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini, mencerminkan momentum ekonomi yang berdaya tahan pada separuh pertama tahun ini meskipun berdepan peningkatan risiko geopolitik.
Dalam satu kenyataan, bank pelaburan itu berkata petunjuk ekonomi bagi April dan Mei menunjukkan ekonomi dijangka mencatatkan satu lagi suku pertumbuhan melebihi lima peratus, disokong oleh aktiviti pembuatan yang kukuh serta peningkatan eksport bersih.
Malaysia turut mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan teknologi yang dipacu kecerdasan buatan (AI), selain kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga ketika harga komoditi kekal tinggi, katanya.
"Prospek bagi separuh kedua 2026 kekal memberangsangkan, khususnya dengan momentum berterusan dalam kelulusan pelaburan, terutama dalam sektor teknologi, tenaga boleh baharu, hartanah perindustrian dan infrastruktur," kata bank pelaburan itu.
Maybank IBG turut mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran dengan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada akhir tahun sebanyak 1,750 mata, disandarkan kepada pertumbuhan pendapatan sebanyak 7.5 peratus, kesan berterusan kitaran pelaburan, perbelanjaan barangan keperluan pengguna yang stabil serta penyertaan pelabur asing yang konsisten.
Bank pelaburan itu berkata peluasan komponen FBM KLCI kepada 50 saham daripada 30 ketika ini dijangka mencergaskan semula minat terhadap saham merentas pelbagai sektor, di samping mendapat manfaat daripada momentum inisiatif MY Value Up.
"Seiring teknologi AI dan pusat data yang terus menjadi tumpuan, Maybank menaik taraf pandangannya terhadap sektor teknologi yang dijangka mendapat manfaat daripada pemacu pertumbuhan struktur jangka panjang ini," katanya.
Sementara itu, Maybank IBG berkata keadaan ekonomi yang semakin baik mendorong pihaknya menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK ASEAN-6 kepada 4.7 peratus daripada 4.5 peratus pada Mac, dengan kadar pertumbuhan itu dijangka kekal pada 4.7 peratus pada 2027.
Harga minyak pula susut daripada paras tertinggi kepada hampir paras sebelum tercetusnya peperangan, manakala aliran trafik kapal tangki melalui Selat Hormuz semakin pulih.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah
- PRN Johor: Enam Tawaran Sharon Teo Dalam Manifesto "Permas Kita Settle"
- KKM Sasar Serap Semua Pegawai Perubatan Siswazah Ke Jawatan Tetap Menjelang 2028
- Pelaksanaan MTS 2022 Oleh KKM Bantu Perkukuh Perkhidmatan Jabatan Kecemasan - MPS
- Indonesia, Singapura Perkukuh Komitmen Lindungi Selat Melaka