06/07/2026 07:29 PM

PRN Johor: Enam Tawaran Sharon Teo Dalam Manifesto "Permas Kita Settle"

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sharon Teo Siew Hui, hari ini mengumumkan enam tawaran di bawah manifesto “Permas Kita Settle” yang memfokuskan penyelesaian isu infrastruktur, kesesakan lalu lintas, pembangunan belia, kesejahteraan wanita dan keluarga serta pemerkasaan komuniti.

Beliau berkata tawaran itu dirangka berdasarkan maklum balas penduduk, hasil turun padang serta kajian bersama-sama beberapa badan pemikir bagi mengenal pasti isu utama di DUN Permas.

“Daripada tinjauan dan maklum balas yang kita terima di lapangan, sebenarnya isu infrastruktur merupakan isu utama di Permas. Itu yang kita dengar daripada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Teo berkata hasil audit itu nanti, akan menjadi asas kepada penyediaan Pelan Trafik Permas 2030 bagi menangani masalah kesesakan, khususnya di laluan Permas Jaya hingga ke Pasir Gudang.

Beliau berkata tawaran lain ialah penubuhan Permas Youth Hub, menjadikan Permas lebih mesra wanita dan keluarga, memperkasakan komuniti Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf Pasar Borneo serta mengadakan Dialog Komuniti Permas secara berkala.

Mengulas demografi pengundi, Teo berkata golongan berusia 18 hingga 39 tahun merangkumi kira-kira 53 peratus daripada keseluruhan 113,963 pengundi di DUN Permas, sekali gus menjadikan agenda belia antara keutamaan dalam tawarannya.

Justeru, beliau berharap pengundi termasuk golongan muda dan pengundi atas pagar memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di Permas selama lima tahun, dengan membawa pengalaman yang diperoleh ketika berkhidmat sebagai pembantu khas kepada bekas Ahli Parlimen Pulai Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sejak 2018.

Berbaki lima hari sebelum pengundian Sabtu ini, Teo memilih pendekatan mendengar suara rakyat dan menyantuni pengundi tanpa mengira kaum sebagai fokus kempen.

“Saya akan santuni rakyat sebanyak mungkin tanpa mengira kaum. Saya akan duduk dan berbincang dengan mereka. Kalau hendak menjadi wakil rakyat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mendengar apa yang rakyat mahukan,” katanya.

Beliau berkata sentimen pengundi di kawasan itu juga semakin positif memandangkan semakin ramai pengundi memberikan kata-kata semangat sepanjang tempoh berkempen.

Teo akan dicabar penyandang kerusi berkenaan yang juga calon Barisan Nasional (BN) Baharudin Mohamed Taib, Dr Zamil Najwah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan T. Vela mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan empat penjuru.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N43: PERMAS - 113,963 pengundi

1. Baharudin Mohamed Taib (BN-UMNO)

2. Teo Siew Hui (PH-Amanah)

3. Dr Zamil Najwah (Bersama)

4. T. Vela (PN-MIPP)

(2022: Baharudin Mohamed Taib: BN-UMNO: Maj: 7,926)