06/07/2026 07:20 PM

Pelaksanaan MTS 2022 Oleh KKM Bantu Perkukuh Perkhidmatan Jabatan Kecemasan - MPS

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Skala Triage Malaysia (MTS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengukuhkan lagi perkhidmatan jabatan kecemasan melalui sistem triage lima peringkat.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Prof Amrahi Buang berkata sistem itu telah berjaya menambah baik penilaian pesakit, mengutamakan pesakit tenat dan melancarkan aliran kemasukan pesakit.

Beliau berkata MPS percaya pembaharuan ini menyediakan peluang terbaik untuk memperkukuh lagi sistem penjagaan kesihatan Malaysia dengan mengintegrasikan secara rasmi lebih 3,000 farmasi komuniti negara ke dalam laluan rujukan kebangsaan untuk pesakit bukan kritikal yang sesuai.

"MTS 2022 membolehkan pengenalpastian pesakit dengan lebih tepat mengikut keadaan segera mereka. Langkah logik seterusnya adalah memastikan pesakit yang diklasifikasikan sebagai tidak kritikal mempunyai akses tepat pada masanya kepada rawatan yang sesuai di luar jabatan kecemasan.

"Farmasi komuniti berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi peranan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah peruntukan MTS 2022 yang baharu, KKM telah menaik taraf sistem kod warna tiga peringkat sebelumnya di bawah Kategori Triaj Malaysia (2011) kepada skala lima peringkat yang lebih kecil, bermula dari Tahap 1 (Resusitasi) hingga Tahap 5 (Rutin).

Amrahi berkata MTS 2022 yang mempertingkatkan penilaian melalui Triage Primer dan Triage Sekunder, memperkenalkan parameter penilaian khusus untuk pesakit pediatrik untuk mengurangkan kesesakan yang tidak perlu dengan memastikan pesakit bukan kecemasan menerima rawatan melalui tetapan penjagaan kesihatan yang lebih sesuai.

Katanya, rangkaian farmasi komuniti Malaysia sudahpun membentuk satu daripada sumber penjagaan kesihatan primer yang terbesar dan paling mudah diakses di negara ini termasuk waktu operasi hingga ke malam, hujung minggu dan semasa cuti umum.

Beliau berkata farmasi komuniti juga menawarkan nasihat penjagaan kesihatan profesional tanpa memerlukan temu janji dan beroperasi di semua kawasan di bandar, pinggir bandar dan di luar bandar. 

"Rawatan segera bagi penyakit ringan biasa, kaunseling ubat dan rujukan apabila perlu. Farmasi komuniti juga telah disenaraikan dalam aplikasi MySejahtera, memudahkan rakyat Malaysia mencari farmasi berdekatan mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata MPS juga mencadangkan agar ahli farmasi komuniti diiktiraf secara rasmi sebagai Rakan Triage Penjagaan Primer.

"Di bawah model kolaboratif ini, pesakit yang dinilai di bawah MTS 2022 sebagai Tahap 4 (Kurang Mendesak) atau Tahap 5 (Rutin), jika sesuai secara klinikal, boleh dirujuk ke farmasi komuniti yang mengambil bahagian untuk penilaian dan pengurusan," katanya.

Amrahi berkata kakitangan jabatan kecemasan boleh mengarahkan pesakit ke farmasi berdekatan yang mengambil bahagian, manakala ahli farmasi akan menilai pesakit, menyediakan rawatan berasaskan bukti untuk penyakit ringan jika sesuai.

Beliau berkata program sedia ada seperti Ubat@Komuniti perlu diperluaskan lagi ke seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi menambah baik akses kepada ubat-ubatan di samping mengurangkan kunjungan ke hospital yang tidak perlu.

Katanya, laluan rujukan digital dan saluran komunikasi antara hospital, klinik dan farmasi komuniti perlu dibangunkan bagi memastikan kesinambungan penjagaan.

Beliau juga menekankan bahawa model penjagaan kesihatan kolaboratif memberi manfaat kepada pesakit, meningkatkan akses kepada penjagaan dan membolehkan jabatan kecemasan memberi tumpuan kepada mereka yang kehidupannya bergantung pada intervensi segera.

-- BERNAMA