PRN Johor: Transformasi Ekonomi, Perumahan Felda, Agenda Utama Md Yusof Di Tenggaroh
Oleh Nur Faradilla Mohamad
MERSING, 6 Julai (Bernama) -- Isu perumahan generasi kedua Felda dan pemerkasaan ekonomi setempat menjadi teras perjuangan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Md Yusof Dawam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Md Yusof, 64, menyifatkan ketiadaan pelan penempatan sistematik di Gugusan Tenggaroh sebagai antara punca penghijrahan golongan muda ke kota, sekali gus mengancam komuniti peneroka dalam jangka masa panjang.
"Antara isu yang disuarakan oleh anak-anak peneroka ketika kempen ialah perumahan generasi kedua. Ramai yang terpaksa menumpang di rumah ibu bapa mereka kerana ketiadaan tempat tinggal sendiri.
"Sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, saya mahu mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu perkampungan khas generasi kedua yang lebih tersusun di tanah seluas 10 hingga 20 ekar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Pesara guru itu menegaskan penempatan sistematik bukan sekadar isu kediaman, malah ia merupakan strategi untuk memastikan ladang sawit milik keluarga terus diuruskan oleh waris, sekali gus mengelakkan aset tersebut terbiar atau diserahkan kepada pihak luar.
Selain perumahan, Md Yusof turut menggariskan visi untuk mentransformasikan sektor perniagaan runcit di Felda yang dianggapnya masih terperangkap dalam acuan lama sejak era 80-an.
Sehubungan itu, beliau bercadang mengusulkan penyediaan geran tanah sementara bagi pembinaan premis perniagaan moden untuk mewujudkan konsep 'pekan kecil' yang lebih dinamik dalam Gugusan Tenggaroh.
"Dari Tenggaroh nak ke bandar Mersing jaraknya kira-kira 70 kilometer (km) sehala. Kadang-kadang penduduk teringin hendak makan keropok lekor pun terpaksa memandu sejauh itu.
"Oleh itu, jika kita bangunkan lot kedai yang sistematik, ekonomi pusingan akan kekal di dalam Felda," katanya.
Menyentuh sektor pelancongan, Md Yusof berhasrat mengoptimumkan potensi rangkaian pulau ikonik Mersing seperti Pulau Besar, Pulau Tinggi dan Pulau Aur agar memberi limpahan ekonomi langsung kepada anak tempatan.
Langkah itu dianggap kritikal memandangkan beberapa lokasi di pulau berkenaan kerap menjadi pilihan syarikat produksi luar negara bagi penggambaran filem, namun manfaat ekonominya belum dirasai secara menyeluruh oleh komuniti muda di situ.
"Limpahan ekonomi itu kurang dirasai oleh anak muda tempatan kerana ketiadaan syarikat pelancongan atau pengangkutan laut yang diusahakan sendiri oleh generasi muda di sini," katanya.
Mengenai strategi kempen, anak jati Tangkak yang telah menetap selama empat dekad di Mersing itu lebih selesa menggunakan pendekatan 'sentuhan peribadi' melalui siri perjumpaan kelompok kecil bagi menyelami aspirasi rakyat secara lebih dekat.
Berbekalkan rekod perkhidmatan selama 16 tahun sebagai pendidik di Felda Nitar serta pengalaman luas dalam jabatan pendidikan, Md Yusof optimis hubungan akrabnya dengan komuniti setempat menjadi aset penting untuk meraih sokongan.
PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala hari pengundian awal bagi anggota pasukan keselamatan berlangsung esok.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N33: TENGGAROH: 39,001
1. Muhamad Amerul Muhamad (PN-Bersatu)
2. Mohd Youzaimi Yusof (BN-UMNO)
3. Md Yusof Dawam (PH-PKR)
(2022: K. Raven Kumar :BN-MIC : Maj: 1,356)
Kata kunci
Berita terkini
- Penerapan Nilai Kenegaraan Perlu Diperkukuh Demi Pembinaan Negara Bangsa - Anwar
- PGA Tahan 10 Warga Asing, Tumpaskan Kegiatan Seludup Migran
- Syarikat Perancis Carester Bina Loji Nadir Bumi Di Perak Hasil Usaha Sama Selama 10 Tahun
- Kenderaan BMW Diguna PM Aset Sedia Ada Kerajaan - JPM
- Teknologi Digital, AI Perlu Dimanfaatkan Untuk Pelestarian Seni Kaligrafi - Aaron