Am 05/10/2026 11:32 PM

Bernama Rangkul Enam Anugerah Akemedia KPKT 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bernama Rangkul Enam Anugerah Akemedia KPKT 2026

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar pencapaian membanggakan apabila meraih enam anugerah dalam empat kategori yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2026, malam ini.

Jurugambar Bernama Mohd Zulfadhli Zulkarnain muncul juara Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik 2026, manakala rakan setugas Mohd Luqman Nurhakim Mohd Zubir dan Mohd Hazrol Zainal masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan itu menyaksikan Bernama menyapu bersih tiga kedudukan teratas kategori berkenaan.

Mohd Zulfadhli membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil, manakala Mohd Luqman Nurhakim menerima RM2,000, trofi dan sijil, sementara Mohd Hazrol memperoleh RM1,000 berserta trofi dan sijil.

Turut menyumbang kepada kejayaan Bernama ialah wartawan Meja Rencana & Penulisan Strategik Soon Li Wei yang meraih tempat ketiga Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Sementara itu, gandingan Penerbit Bernama Radio Nur Syazwani Bakhtiar Azam dan Peneraju Bernama Radio Naziana Md Nasir meraih tempat ketiga Anugerah Penyiaran Radio Terbaik 2026 menerusi program temu bual bertajuk Ekonomi Kitaran: Sisa Bukan Lagi Sampah.

Wartawan Bernama TV Dhiyaulhaq Hamzah bersama jurukamera Nadzirah Yazid, Fazlil Hakimi Dzulkifli dan Zaini Mohd Ithnin turut meraih tempat ketiga menerusi laporan bertajuk Swadaya Kitar Semua - Sebuah Perjuangan.

Terdahulu, Nga dalam ucapannya berkata anugerah berkenaan merupakan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen mereka dalam menyampaikan laporan yang adil, seimbang dan berlandaskan fakta.

Beliau berkata media massa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara menerusi penyampaian maklumat kepada masyarakat, selain menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Saya faham cabaran utama kewartawanan bukan lagi sekadar mendapatkan berita, tetapi memastikan setiap maklumat yang disampaikan pantas dan tepat.

“Perkembangan media sosial serta kecerdasan buatan turut mempercepat penyebaran maklumat sahih dan palsu, sekali gus menjadikan peranan wartawan semakin penting,” katanya.

Nga berkata wartawan bukan sekadar menjadi pihak terawal menyampaikan berita, malah memikul tanggungjawab untuk menyemak dan mengesahkan maklumat bagi memastikan masyarakat menerima laporan yang tepat, jelas serta bebas daripada manipulasi dan salah tafsir.

“Dalam mengejar kepantasan, jumlah pembaca mahupun tontonan yang tinggi, janganlah media sesekali menggadaikan integriti serta etika kewartawanan yang jauh lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata kejayaan itu membuktikan penyertaan Bernama dalam anugerah berkenaan terus membuahkan hasil, khususnya menerusi pasukan jurufoto yang menyapu bersih ketiga-tiga tempat dalam kategori yang dipertandingkan.

“Alhamdulillah, penyertaan Bernama dalam anugerah ini mencapai banyak kejayaan. Ini satu pencapaian yang amat baik kerana setiap tahun foto Bernama memenangi anugerah dalam pertandingan KPKT.

“Ini membuktikan semua platform yang kita ada di Bernama mampu menghasilkan laporan berkualiti,” katanya.

Nur-ul Afida berkata momentum kecemerlangan itu perlu diteruskan dalam pertandingan lain, selain menjadi pembakar semangat kepada warga Bernama untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan meraih pengiktirafan.

“Saya sarankan kecemerlangan ini diteruskan dalam pertandingan lain dan menjadi contoh kepada rakan-rakan untuk turut mencipta kejayaan lebih besar,” katanya.

-- BERNAMA