Am 05/10/2026 11:30 PM

Kemalangan Gerik: Hampir Setahun Tak Bertemu, Bapa Kini Hanya Tatap Jenazah Anak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kemalangan Gerik: Hampir Setahun Tak Bertemu, Bapa Kini Hanya Tatap Jenazah Anak
Ahli keluarga dan penduduk kampung bersama-sama menguruskan jenazah mangsa kemalangan maut di Gerik, Tuan Shazrin Tuan Mud dan anaknya Safiyya Haura Mohamad Sanuzi yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Dusun, Sering, Kelantan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU, 5 Okt (Bernama) -- Hampir setahun menanti untuk bertemu anak tunggalnya, Mohd Sanuzi Mohd Nawi, 33, tidak menyangka pertemuan yang dirancang beberapa hari lagi bertukar menjadi saat paling memilukan apabila dia hanya mampu menatap jenazah Safiyya Haura, 3, yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak, semalam.

Mohd Sanuzi berkata bekas isterinya, Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan datang ke rumahnya di sini bersama dengan seorang lagi anak wanita itu, Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Saya hampir setahun tidak berjumpa Safiyya Haura memandangkan dia tinggal bersama ibunya di Taiping, Perak... memang saya tunggu dia datang kerana ibunya sudah beritahu mereka akan datang ke rumah saya beberapa hari lagi.

“Tak sangka selepas setahun menunggu untuk berjumpa, akhirnya saya hanya dapat melihat jenazah anak,” katanya kepada pemberita di Masjid Umari, Mukim Telaga Bata, Sering di sini malam ini.

Jenazah Safiyya Haura dan ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dusun, Sering selepas solat Isyak malam ini.

Mohd Sanuzi berkata walaupun perkahwinannya dengan Tuan Shazrin telah berakhir, hubungan dengan Safiyya Haura tetap baik dan mereka sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

Dia turut dimaklumkan mengenai perjalanan mereka dari Perak ke Kota Bharu dan mula berasa tidak sedap hati apabila mesej yang dihantarnya kepada Safiyya Haura sejak tengah hari semalam tidak mendapat respons.

“Pada kira-kira 8 malam, saya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan dimaklumkan mengenai kemalangan serta kematian anak dan bekas isteri,” katanya sambil menambah Mohammad Shiraz masih kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Doktor memaklumkan akan melakukan pembedahan untuk membuang darah beku di kepala... saya berharap pembedahan itu berjalan lancar dan dia akan pulih,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, yang turut terlibat dalam kemalangan sama membabitkan tiga kenderaan pada 1 tengah hari semalam, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Jawa, Kampun Budi, Tawang di Bachok malam ini.

Kemalangan itu, yang berlaku di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik, turut meragut nyawa Al Zubair Deraman, 31.

-- BERNAMA