06/07/2026 08:27 PM

Pusat Rehabilitasi Dan Gimnasium Komuniti MADANI Perkenal Pelbagai Teknologi, Inovasi - UTeM

MELAKA, 6 Julai (Bernama) -- Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti MADANI di Serkam, Jasin yang dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi bagi memberi rawatan kepada pesakit memerlukan.

UTeM dalam kenyataan memaklumkan fasiliti kesihatan yang dibangunkan menerusi Geran UniMADANI 2024 di bawah Kementerian Kewangan itu menyediakan kemudahan rehabilitasi dan fisioterapi kepada pesakit strok, individu yang mengalami kecederaan, masalah pergerakan serta kelemahan anggota badan menggunakan teknologi yang dibangunkan penyelidik UTeM.

”Antara inovasi yang diperkenalkan ialah Roboglove bagi membantu latihan pemulihan tangan, Assistive Lower Limb Chair (ALLC) untuk latihan anggota bawah secara automatik dan sistem eksoskeleton yang meningkatkan keberkesanan latihan pergerakan,” menurut kenyataan itu.

Projek pembangunan pusat diketuai Prof Madya Dr Mariam Md Ghazaly yang bertemakan 'Pemulihan Fisioterapi Dalam Komuniti Melalui Teknologi Rehabilitasi’ itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @UniMADANI) baru-baru ini.

Dalam kenyataan sama, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti MADANI itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan akses perkhidmatan rehabilitasi berasaskan teknologi kepada masyarakat, sekali gus membuktikan peranan universiti dalam membawa hasil penyelidikan terus kepada rakyat.

Beliau berkata penubuhan pusat berkenaan adalah hasil kerjasama UTeM dengan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Pulai, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

"Penubuhan pusat ini adalah contoh membuktikan inovasi dan teknologi rehabilitasi dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit serta memudahkan mereka mendapatkan latihan pemulihan secara berterusan.

"Kami berharap model kerjasama antara universiti, kerajaan dan komuniti seperti ini dapat diperluas ke lebih banyak lokasi supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kepakaran dan teknologi yang dibangunkan UTeM," katanya.

-- BERNAMA