06/07/2026 08:56 PM

PRN Johor: Yeo Yakin Rekod Dua Penggal Mampu Rampas Semula DUN Pekan Nanas

PONTIAN, 6 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yakin rekod perkhidmatannya selama dua penggal sebagai wakil rakyat mampu menjadi sandaran untuk merampas semula kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas bagi tempoh 2013 hingga 2022 itu berkata keyakinannya turut diperkukuh dengan sambutan positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen selepas berjaya bertemu hampir 60 peratus pengundi menerusi pelbagai program.

"Saya anggarkan hampir 60 peratus pengundi telah berjaya ditemui menerusi program jelajah mesra (walkabout), ceramah, perjumpaan kelompok, ziarah dari rumah ke rumah serta kunjungan ke pasar awam, pasar lambak dan restoran. Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya kepada Bernama.

Bekas naib pengetua dan guru disiplin itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pengundi untuk menilai rekod perkhidmatannya sepanjang menjadi wakil rakyat.

"Saya bergantung pada prestasi sepanjang menjadi wakil rakyat. Saya bukan seorang yang mementingkan protokol dan sentiasa mudah dihubungi. Sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi saya dan saya sendiri akan turun menziarahi mereka," katanya.

Mengimbau tempoh perkhidmatannya, Yeo berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk mendapatkan peruntukan RM500,000 bagi kerja meluruskan aliran Sungai Pulai untuk mengatasi masalah banjir yang berlarutan sejak sekian lama, selain bekerjasama dengan sektor swasta melaksanakan projek mengorek parit di sempadan Kampung Melayu Raya.

Mengulas isu yang sering dibangkitkan pengundi sepanjang kempen, beliau berkata kesesakan lalu lintas dan peluang pekerjaan merupakan antara kebimbangan utama penduduk.

Beliau berkata sekiranya diberi mandat semula, antara keutamaannya ialah memperjuangkan pelaksanaan dua projek jalan pintas melibatkan laluan Ulu Pulai-Pekan Nanas dan persimpangan Pulai-Sri Bunian yang diyakini dapat memendekkan masa perjalanan antara Pontian dan Johor Bahru.

Selain itu, Yeo berkata beliau berhasrat meneruskan penganjuran karnival kerjaya yang pernah dilaksanakan ketika menjadi wakil rakyat dengan kerjasama syarikat-syarikat utama di sekitar Pekan Nanas bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Saya juga mahu memastikan golongan yang memerlukan menerima bantuan sewajarnya melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan institusi berkaitan," katanya.

DUN Pekan Nanas menyaksikan saingan satu lawan satu antara Yeo dan penyandang kerusi itu Tan Eng Meng daripada Barisan Nasional (BN).

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N55: Pekan Nanas - 37,556 pengundi

1. Yeo Tung Siong (PH-DAP)

2. Tan Eng Meng (BN-MCA)

(2022: Tan Eng Meng: BN-MCA: Maj: 4,835)