DOSM Perkenal Kalkulator PAKW Khas Untuk OKU, Pesakit Dan Warga Emas
PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini memperkenalkan kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi kumpulan berkeperluan khas yang meliputi Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit dan warga emas bagi menyediakan anggaran kos kehidupan yang lebih tepat dan inklusif.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengiraan PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas itu mengambil kira keperluan yang berbeza mengikut kategori bagi memastikan nilai yang dihasilkan benar-benar mencerminkan kehidupan wajar golongan berkenaan.
“Kita tidak boleh samakan keperluan Orang Kurang Upaya atau pesakit dengan orang lain. Sebab itu kita mengambil kira kategori dan keperluan yang berbeza supaya nilai yang dihasilkan benar-benar mencerminkan kehidupan wajar mereka,” katanya kepada pemberita pada program Wacana Khas Simfoni Data dan Media di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan PAKW itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan data yang dihasilkan mencerminkan keperluan sebenar kumpulan berkenaan.
Mohd Uzir berkata pendekatan itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya prinsip tiada satu pun yang tertinggal, bagi memastikan setiap golongan diambil kira dalam penyediaan statistik rasmi negara.
Beliau berkata kemas kini PAKW bagi kumpulan berkeperluan khas dijangka dimuat naik ke dalam Kalkulator MyPAKW pada Ogos ini menerusi portal mypakw.dosm.gov.my dan aplikasi mudah alih MyPAKW.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Indonesia Sasar US$5.8 Bilion Dalam Pelaburan Hijau Menerusi Pasaran Karbon
- Penjagaan Mata Sepanjang Hayat: Mengenali Masalah Penglihatan Pada Semua peringkat Usia
- JBMKKS Lancar Program Rintis Mediasas Akhir Julai, Peringkat Nasional Pada 2027
- RHB IB Unjur KDNK Malaysia Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026
- Sime Darby Property Beli Wisma UNIRAZAK Pada Harga RM160 Juta