06/07/2026 03:48 PM

Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026: Desa Murni Kerdau Raih Tiga Anugerah

MARAN, 6 Julai (Bernama) -- Kampung Desa Murni Kerdau di Temerloh, Pahang meraih tiga anugerah pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di sini hari ini.

Kampung itu dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025, selain menerima Anugerah Khas Aspirasi Profiling Komuniti Desa dan Anugerah Khas Pengurusan Mampan.

Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025 disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala dua lagi anugerah khas itu disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Murni Kerdau Mohamad Fazrul Ahmad berkata pengiktirafan itu, membuktikan kecemerlangan kampung berkenaan dalam aspek tadbir urus, kepimpinan serta pembangunan komuniti.

“Bagi pihak kepimpinan Desa Murni, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kerana menganjurkan anugerah yang amat bermakna dalam mengiktiraf pembangunan komuniti luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah itu.

Mohamad Fazrul berkata Desa Murni Kerdau telah melahirkan kira-kira 20 usahawan dalam pelbagai bidang termasuk industri kecil dan sederhana (IKS), pertanian dan automotif, selain turut dikenali menerusi produk pelancongan Kampung Stay yang menjadi antara destinasi pelancongan luar bandar terkenal di negara ini.

“Desa Murni Kerdau merupakan sebuah kampung tradisional yang tersusun, mempunyai kira-kira 200 rumah dengan lebih 600 penduduk,” katanya.

Beliau berkata wang kemenangan yang diterima akan diagihkan kepada penduduk serta digunakan bagi melaksanakan projek penambahbaikan dan pembangunan kampung demi manfaat komuniti setempat.

-- BERNAMA