Yayasan Peneraju Buka Permohonan Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Baharu
PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera membuka permohonan bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif baharu bermula hari ini hingga 20 Julai depan bagi memastikan proses pengisian jawatan utama dibuat secara telus, teratur dan berasaskan merit, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Ketua Pegawai Eksekutif baharu perlu mempunyai keupayaan untuk memacu hala tuju strategik dan memperkukuh peranan yayasan dalam membangunkan bakat Bumiputera, khususnya bagi sektor bernilai tinggi dan pekerjaan masa depan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju itu berkata Yayasan Peneraju memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh, tetapi juga pengalaman dalam bidang teknologi, transformasi digital, inovasi, pembangunan bakat, strategi korporat dan sektor pertumbuhan baharu.
“Ini penting supaya bakat bumiputera, khususnya anak muda, dapat dipersiapkan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi, berpendapatan lebih baik dan mampu menyumbang kepada ekonomi bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelantikan ini penting bagi memastikan program Yayasan Peneraju kekal relevan dengan perubahan landskap ekonomi dan teknologi, termasuk keperluan pekerjaan berkemahiran tinggi, pendigitalan, kecerdasan buatan dan sektor bernilai tinggi.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi memaklumkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera membuka permohonan bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif baharu susulan peletakan jawatan Ibrahim Sani, berkuat kuasa 1 Julai 2026.
“Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju sedang mencari seorang pemimpin berwawasan dan berpengalaman, dengan keupayaan kepimpinan, strategik serta tadbir urus yang kukuh bagi menerajui fasa pertumbuhan dan transformasi organisasi yang seterusnya,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Ekonomi memaklumkan antara kriteria utama yang ditetapkan termasuk calon bumiputera berumur 35 tahun dan ke atas, dengan sekurang-kurangnya sepuluh tahun pengalaman kerja merentasi pelbagai industri dan peranan, termasuk minimum lima tahun pengalaman dalam jawatan kepimpinan kanan atau peringkat C-suite.
Calon juga perlu memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan profesional yang diiktiraf atau kelayakan setara.
Permohonan bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju dibuka mulai 6 hingga 20 Julai 2026, tertakluk kepada sebarang pindaan oleh Yayasan Peneraju.
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan berserta profil terperinci melalui saluran rasmi iaitu Laman Kerjaya Yayasan Peneraju: https://yayasanpeneraju.com.my/kerjaya/ atau LinkedIn rasmi Yayasan Peneraju https://www.linkedin.com/company/yayasanpeneraju/.
Menurut kenyataan itu, permohonan juga boleh dikemukakan di JobStreet, atau emel rasmi pengambilan bakat di careers@yayasanpeneraju.com.my
Untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya, syarat kelayakan dan proses permohonan, calon boleh melayari laman web rasmi Yayasan Peneraju di www.yayasanpeneraju.com.my.
Proses saringan dan penilaian calon akan dilaksanakan oleh jawatankuasa yang ditetapkan, tertakluk kepada tatacara dalaman Yayasan Peneraju serta peraturan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan, jika berkenaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita JPM Manifestasi Komitmen Penjawat Awam Wanita
- WCT Holdings Terima Kontrak Pembinaan Bernilai RM926,2 Juta Di Abu Dhabi
- Niaga Hadapan KLCI Ditutup Rendah
- Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Seiring Prestasi Mata Wang Asia
- IPO Enest Terlebih Langgan 1.94 Kali Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE