06/07/2026 07:10 PM

Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita JPM Manifestasi Komitmen Penjawat Awam Wanita

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Misi Tawan Gunung Kinabalu Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan ini adalah manifestasi usaha memperkukuh ketahanan fizikal, mental dan emosi dalam kalangan penjawat awam wanita.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz merangkap Penasihat Puspanita cawangan JPM berkata program pendakian seperti ini sangat penting dalam membina daya tahan seseorang individu.

“Ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter sebenarnya bukan sekadar perjalanan untuk sampai ke puncak. Ia adalah satu kembara untuk kami ‘menakluk diri sendiri’ melalui disiplin, kesungguhan dan memahami erti kesabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita JPM 2026 di sini hari ini.

Diketuai oleh Pengerusi Puspanita Cawangan JPM Dr Azlifah Bahari, misi yang akan bermula 14 Julai hingga 17 Julai ini akan disertai 16 peserta, terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi JPM.

Wan Ahmad Dahlan turut menitipkan pesanan agar peserta sentiasa mematuhi segala prosedur keselamatan dan tatacara berinteraksi dengan alam sekitar sepanjang ekspedisi itu.

“Semangat kerjasama yang telah sedia dipupuk dalam Puspanita akan menjadikan kembara ini suatu kejayaan. Kepada semua, marilah kita bersama-sama mendoakan agar misi kembara ini berjalan lancar, diberikan kemudahan dan berada dalam perlindungan Allah,” katanya.

-- BERNAMA