06/07/2026 07:49 PM

WCT Holdings Terima Kontrak Pembinaan Bernilai RM926.2 Juta Di Abu Dhabi

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd telah menerima subkontrak pembinaan bernilai RM926.20 juta di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, melalui usaha sama (JV) nisbah kepentingan 50:50 dengan Construction General Contracting House Ltd (CGCH).

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, WCT memaklumkan bahawa WCT International Bhd dan CGCH yang diperbadankan di UAE, menerusi syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 yang bakal ditubuhkan telah menerima surat penganugerahan subkontrak dikeluarkan oleh CGCH.

Skop kerja berkenaan melibatkan usaha sama, pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja pembinaan untuk Yas Riva Residences.

Projek yang dimiliki dan dibangunkan oleh Aldar Development LLC itu melibatkan pembinaan dan penyiapan enam bangunan kediaman, masing-masing terdiri daripada 11 tingkat di Abu Dhabi.

"Berikutan penerimaan subkontrak tersebut, WCT International Sdn Bhd dan CGCH harus dengan secepat mungkin, sama ada secara langsung atau melalui anak syarikat milik penuh masing-masing, memperbadankan syarikat JV tersebut," menurut pemfailan itu.

Kerja-kerja subkontrak tersebut dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan siap dalam tempoh kira-kira 40 bulan, atau sekitar 1,218 hari dari tarikh permulaannya, menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA