06/07/2026 06:56 PM

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Seiring Prestasi Mata Wang Asia

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur kembali menumpukan mata wang negara maju itu susulan penurunan berikutan laporan penggajian Jun AS yang lebih lemah daripada jangkaan awal.

Kalangan pelabur juga berhati-hati menjelang pengumuman minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Jun lepas yang dijadualkan lewat minggu ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada 6 petang ini, ringgit di paras 4.0825/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0690/0735 yang dicatatkan pada penutup Jumaat lepas.

Selain ringgit, Mohd Afzanizam memberitahu Bernama, mata wang Asia juga secara amnya susut berbanding dolar AS.

“Pada hari ini, pasaran akan memantau pengumuman data Indeks ISM bagi sektor perkhidmatan AS yang dijadualkan malam ini.

“Jangkaan awal meletakkan indeks itu pada 54.2 mata bagi Jun iaitu susut sedikit berbanding 54.5 pada Mei lepas,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ini termasuk susut berbanding euro kepada 4.6594/6651 daripada 4.6497/6612 pada penutup Jumaat lepas dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4440/4507 daripada 5.4296/4430, minggu lepas.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5148/5180 daripada 2.5214/5277, sebelum ini.

Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan rendah pada penutup urus niaga.

Ringgit rendah susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1554/1595 daripada 3.1483/1563 pada penutupan Jumaat lepas dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2403/2600 daripada 12.2384/2744 minggu lepas.

Selain itu, ringgit juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 226.8/227.2 daripada 226.2/226.8 sebelum ini serta menyusut berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.65 daripada 6.61/6.63.

-- BERNAMA