06/07/2026 02:28 PM

Penolong Pengarah Kastam Didakwa Terima Rasuah Untuk Tutup Kes

SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Seorang penolong pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,000 pada awal bulan lepas.

Fareez Akmal Md Yusuf, 38, yang merupakan Penolong Pengarah Cawangan Siasatan (Frod Perdagangan) di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM15,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan membantu menutup kertas siasatan yang sedang dikendalikannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta di daerah Petaling pada 6 Jun lepas mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. 

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Fareez Akmal memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan ibu bapa yang sedang uzur. 

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan serta menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA