Laporan Siasatan Letupan Bom Di Kem Hobart Dijangka Siap Pertengahan Julai
KOTA TINGGI, 5 Julai (Bernama) -- Laporan siasatan berhubung insiden letupan bom yang mengorbankan dua anggota tentera semasa menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun bulan lepas, dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pada pertengahan bulan ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata laporan berkenaan sedang dimuktamadkan, sebelum diserahkan kepada kementerian bagi tindakan lanjut.
“Saya difahamkan laporan itu akan diserahkan pada pertengahan bulan ini. Insya-Allah, saya akan laporkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) turut diarahkan menilai semula pendekatan latihan yang dilaksanakan, termasuk mengambil kira insiden kedua yang berlaku di kem sama.
“Kita perlu lihat sama ada terdapat kelemahan lain dan sebagainya. Semua ini hanya akan kita buat keputusan selepas kita menerima segala siasatan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.57 pagi pada 16 Jun lepas, dua anggota yang terlibat iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan parah akibat letupan semasa latihan berkenaan.
Kedua-dua anggota tersebut telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Selang dua minggu pada 29 Jun, satu lagi insiden berlaku membabitkan kejadian senjata api meletup yang mencederakan dua anggota tentera semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT), di lapang sasar kem sama.
Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix Franchis daripada Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan dalam kejadian 6.15 petang itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- WCT Holdings Terima Kontrak Pembinaan Bernilai RM926,2 Juta Di Abu Dhabi
- Niaga Hadapan KLCI Ditutup Rendah
- Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Seiring Prestasi Mata Wang Asia
- IPO Enest Terlebih Langgan 1.94 Kali Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE
- Dewan Rakyat Lulus RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, Perkasa Peranan MyCC