Dewan Rakyat Lulus RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, Perkasa Peranan MyCC
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, bagi memperkasakan peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan memastikan keseluruhan kerangka perundangan persaingan negara dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembakang.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata RUU yang membabitkan 34 pindaan itu, penting bagi memperkukuh fungsi pasaran yang adil, telus, serta dinamik dalam mendepani aktiviti kartel yang semakin kompleks dan cekap.
Beliau berkata skop undang-undang di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan sedia ada, secara khususnya menetapkan ruang lingkup kawalan ke atas pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran, penipuan bida dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.
Melalui pindaan terbaharu itu, Armizan berkata kuasa MyCC untuk menghendaki pemberian maklumat, kini diperluas dengan turut merangkumi pelaksanaan kajian semula pasaran.
“Langkah ini bagi memastikan peranan MyCC dapat diperkukuh, supaya sebarang kajian semula pasaran menjadi lebih komprehensif dan holistik, sekali gus mengatasi masalah kesukaran mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan, perusahaan, mahupun pihak tertentu sebelum ini,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan organisasi yang semakin luas, Armizan berkata RUU itu turut memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 17A (Perwakilan Kuasa dan Fungsi).
Armizan menjelaskan bahawa tanpa peruntukan yang jelas, kecekapan operasi harian dan pentadbiran MyCC boleh terjejas.
Terdahulu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menyertasi sesi perbahasan RUU itu, antara lain membangkitkan isu peluasan kuasa kepada pengawai MyCC untuk mengenakan penalti kewangan, dibimbangi akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Chong Zhemin (PH-Kampar) yang menyokong cadangan memindahkan kuasa kepada MyCC untuk mengenakan penalti kewangan dan caj pembayaran lewat, berpandangan pelaksanaannya perlu berpandukan garis panduan yang jelas, telus dan konsisten bagi mengelakkan beban terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan kecil.
Chong berkata penalti yang dikenakan perlu cukup tegas supaya syarikat besar tidak menganggapnya sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan.
“Jika keuntungan daripada pelanggar undang-undang jauh lebih tinggi daripada penalti, maka undang-undang itu tidak akan menakutkan sesiapa.
“Dalam mengenakan penalti... kita juga perlu membezakan antara kartel besar yang sengaja menipu pasaran dengan perusahaan kecil yang mungkin melakukan kesalahan kerana kurang kefahaman," katanya.
Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan-Kota Belud) pula mencadangkan kerajaan menubuhkan cawangan MyCC di Sabah bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang persaingan dan mempercepatkan tindakan terhadap aduan berkaitan kartel serta monopoli di wilayah Borneo.
Isu sama turut disentuh Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan).
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pusat Rehabilitasi Dan Gimnasium Komuniti MADANI Perkenal Pelbagai Teknologi, Inovasi - UTeM
- Hoe Yean Letak Sukan Asia Sebagai Keutamaan, Glasgow Jadi Medan Persiapan
- Ops Ulat KLIA: JPJ Kesan Pemandu e-Hailing Tidak Guna Aplikasi Untuk Raih Keuntungan
- FAMA Perkukuh Ekosistem Pemasaran Digital Sektor Agromakanan
- PRN Johor: Beri Peluang Kami Laksanakan Manifesto, Bukti Bukan "Copy Paste" - Mohamad Sabu