01/07/2026 12:15 PM

PRN Johor: ‘Ceramah Poket’ Strategi Pannir Selvam Pikat Pengundi DUN Perling

Oleh Muhammad Faiz Baharin

JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Mengambil pendekatan 'sentuhan peribadi', calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, P. Pannir Selvam mempertaruhkan siri ‘ceramah poket’ sebagai strategi utama untuk memikat hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Meskipun menyedari kepentingan media sosial sebagai medium kempen moden, Pannir Selvam yang membuat penampilan sulung di pentas politik negeri menyifatkan interaksi secara bersemuka melalui ceramah berkelompok itu jauh lebih efektif dan memberi impak mendalam mendekati pengundi.

Beliau berkata kaedah 'poket' atau ceramah berskala kecil itu bukan sahaja merapatkan jurang antara calon dan pengundi, malah menjadi wadah terbaik untuk beliau menyelami dan merungkai isu lokal  yang dihadapi penduduk setempat.

“Dalam siri ceramah ini, saya turut berpeluang bersemuka dengan pengundi, memperkenalkan diri secara lebih akrab dan mesra selain memberi penjelasan serta keyakinan kepada kemampuan saya untuk berkhidmat kepada mereka di kawasan ini.

“Setakat ini, penerimaan pengundi yang ditemui dalam beberapa siri ceramah poket di kawasan sekitar DUN ini amat positif, sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk meningkatkan tempo kempen setiap hari menuju ke hari pengundian nanti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam usaha memburu mandat di kerusi panas itu, Pannir Selvam turut menyifatkan sokongan padu bapanya, Datuk KS Balakrishnan sebagai 'tonik' dan penguat semangat buat dirinya untuk berjuang habis-habisan.

Bagi beliau, kehadiran bapanya yang juga veteran politik serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas selama lima penggal serta penah menjadi Exco kerajaan negeri, dianggap bukan sekadar restu seorang ayah, malah sebagai mentor terbaik dalam mempelajari selok-belok menyantuni rakyat.

“Saya amat terharu, pada usia 84 tahun beliau masih lagi gagahkan diri memandu sendiri ke pelbagai lokasi kempen, turun ke lapangan bantu saya di merata tempat tanpa mengira keadaan cuaca panas mahupun hujan.

“Sejujurnya saya banyak belajar daripada ayah, terutamanya bagaimana cara beliau menyelesaikan masalah rakyat, pergi menyantuni rakyat selain khidmat ‘buta warna’ tanpa mengira kaum serta bagaimana beliau mengambil setiap kritikan dengan cara cukup positif,” katanya. 

Beliau turut berkongsi pesanan bapanya agar sentiasa bekerja dengan ikhlas, jujur dan amanah dalam memikul mandat rakyat sekiranya diberi mandat untuk berkhidmat sebagai ADUN Perling.

Menyentuh mengenai tawaran kepada pengundi DUN Perling, bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu komited untuk memberikan tumpuan kepada penyelesaian kemelut harian penduduk, khususnya isu kesesakan lalu lintas dan kekurangan parkir di Pasar Awam Taman Perling.

Katanya pengalaman luas dalam selok-belok pentadbiran di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berupaya membantunya untuk lebih cekap menyelesaikan isu-isu dibangkitkan penduduk.

DUN Perling yang mempunyai 109,992 pemilih berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pannir Selvam, calon Pakatan Harapan (PH) Alan Tee Boon Tsong dan Boo Wei Han yang mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N46: PERLING : 109,992 pengundi

1.  P. Pannir Selvam (BN-MIC)

2.  Alan Tee Boon Tsong (PH-DAP)

3.  Boo Wei Han (Bersama)

 

(2022: Liew Chin Tong: PH-DAP: Maj: 3,347)