Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Mekanisme kredit cukai input bersasar untuk transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) perlu dipertimbangkan sekiranya ciri-ciri cukai barang dan perkhidmatan (GST) terpilih dimasukkan ke dalam rangka kerja cukai jualan dan perkhidmatan (SST), menurut KPMG Malaysia.
Ketua Bahagian Cukainya Soh Lian Seng berkata mekanisme itu perlu disokong oleh bayaran balik yang dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan dan boleh dijangka, khususnya bagi pengeksport, pengilang serta perniagaan yang melibatkan perbelanjaan modal yang besar.
Beliau berkata di bawah sistem SST semasa, cukai yang dikenakan pada peringkat awal rantaian bekalan mungkin menjadi sebahagian daripada kos, sekali gus menyebabkan kesan berantai yang meningkatkan keseluruhan kos menjalankan perniagaan.
“Sekiranya ciri-ciri GST terpilih diserapkan ke dalam rangka kerja SST, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pengurangan kesan cukai berantai sambil memastikan proses pentadbiran kekal mudah.
“Dan membenarkan perniagaan mengimbangi cukai yang layak dikenakan ke atas input akan membantu mewujudkan sistem cukai yang lebih neutral, cekap dan adil,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.
Soh berkata kerajaan juga boleh memanfaatkan infrastruktur e-Invois yang semakin berkembang bagi menyokong pengesahan kredit cukai dan tuntutan bayaran balik.
“Ketersediaan data pada peringkat transaksi memberi peluang untuk meningkatkan ketelusan, menambah baik pemantauan pematuhan dan mempercepat tempoh pemprosesan,” katanya.
Meningkatkan Kepastian Percukaian
Mengenai langkah percukaian yang lebih menyeluruh, Soh berkata Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya saing Malaysia melalui kepastian percukaian yang lebih baik, kecekapan pentadbiran serta ekosistem yang lebih mesra pelaburan untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan.
Beliau berkata langkah itu termasuk memperkukuh program pematuhan secara kerjasama dan inisiatif tadbir urus cukai, mempermudah pentadbiran duti setem serta memperkemas prosedur pematuhan.
Sementara itu, Soh berkata ketika Malaysia berusaha untuk kekal berdaya saing dalam menarik modal serantau dan global, rangka kerja pelaksanaan mekanisme cukai pegangan ke atas dividen yang dicadangkan perlu dirangka dengan teliti bagi meminimumkan beban pematuhan dan memudah cara aliran pelaburan rentas sempadan.
“Perniagaan mementingkan kesederhanaan, kejelasan dan kepastian khususnya dalam hal yang melibatkan pelaburan antarabangsa,” katanya.
Berhubung e-Invois, Soh berkata KPMG berpendapat peningkatan ambang pengecualian kepada RM3 juta daripada RM1 juta merupakan langkah pragmatik untuk menangani kebimbangan terhadap kos pelaksanaan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), tetapi tidak menjangkakan ambang pengecualian itu dinaikkan lagi dengan ketara dalam masa terdekat.
“Kami percaya fasa seterusnya inisiatif untuk e-Invois perlu menumpukan kepada pendigitalan PMKS, bukannya memperluas pengecualiannya,” kata beliau.
Rangka Kerja Percukaian REIT yang Lebih Mudah
Mengenai amanah pelaburan hartanah (REIT), Rakan Kongsi Cukai Korporat KPMG Malaysia Ong Guan Heng menggesa kerajaan meningkatkan daya saing Malaysia melalui rangka kerja cukai yang lebih mudah untuk pelabur asing.
Ong berkata penamatan rejim cukai pegangan (WHT) 10 peratus bagi pelabur institusi asing seperti kumpulan wang persaraan dan individu bukan pemastautin lain, mulai tahun taksiran 2026, manakala syarikat bukan pemastautin kekal tertakluk kepada WHT pada kadar 24 peratus, menyebabkan rangka kerja cukai menjadi lebih kompleks dan membebankan.
Beliau berkata KPMG Malaysia berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula rejim WHT yang muktamad untuk pelabur institusi asing dan pelabur bukan pemastautin lain yang terjejas dalam Belanjawan 2027.
“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan kadar WHT yang lebih rendah daripada 30 peratus, dengan mengambil kira kaedah percukaian yang tersedia di pasaran REIT serantau lain yang telah berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata keperluan pematuhan dan pentadbiran juga perlu dipermudah sepanjang tempoh peralihan, selain panduan lanjut diberikan bagi meningkatkan kejelasan dan kepastian kepada pelabur yang terjejas.
-- BERNAMA