TIOMAN, 30 Sept (Bernama) — Program Start-In-Tioman (SIT) 2026 anjuran Damai Tioman Resort terus komited melahirkan generasi baharu penyelam skuba serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar marin.
Pengarah Projek SIT, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata projek itu adalah program ke-16, yanh disertai lima peserta kursus Open Water dan 20 penyelam bertauliah.
“Selain aktiviti selaman, program turut merangkumi aktiviti pembersihan pantai (beach clean-up) dan pembersihan dasar laut (underwater clean-up), termasuk usaha menaikkan pukat hantu di lokasi selaman Jahat dan Mukut.
“Program tersebut, yang berlangsung dari 24 hingga 27 Sept lepas, turut menyaksikan pelancaran kempen Cuci-Cuci Malaysia (CCM) oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan alam sekitar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Syed Rizalman berkata SIT 2026 dijayakan dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Alam dan Kehijauan AKAR, Lembaga Pembangunan Tioman dan Tourism Pahang.
“Sepanjang penganjurannya, SIT bukan sahaja berjaya melahirkan penyelam baharu, malah memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat, khususnya pengusaha resort, pengusaha bot, restoran dan peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata walaupun berpusat di Kampung Genting, program itu turut berkembang ke kampung lain, termasuk Kampung Mukut menerusi aktiviti mendaki dan via ferrata di Gunung Nenek Simukut serta Kampung Tekek yang menempatkan Taman Laut Pulau Tioman.
Sementara itu, salah seorang peserta program tersebut, Azmi Hashim berkata Penganjuran SIT secara konsisten diharap dapat terus mempromosikan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, di samping memelihara ekosistem marin dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
— BERNAMA