Am 30/09/2026 10:41 AM

Lelaki Ditahan Bersama 102 Karton Rokok Seludup

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Ditahan Bersama 102 Karton Rokok Seludup
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan merampas 102 karton rokok disyaki tidak bercukai dalam operasi di Jalan Sungkai, Taman Aman, dekat Bidor, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek ditahan sepasukan anggota Cawangan Risikan/Task Force Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor kira-kira 8.15 malam selepas pihaknya mengesan sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan pelbagai jenis rokok disyaki seludup yang keseluruhannya berjumlah 102 karton, terdiri daripada pelbagai jenama.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Iswara dan satu unit kunci kereta, manakala nilai keseluruhan rampasan masih dalam penilaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dan menjual rokok berkenaan serta dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira tiga tahun lepas.

“Suspek mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan setiap minggu sebelum mengedarkannya kepada peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula 29 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, sampel barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran rokok berkenaan.

-- BERNAMA