Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi & Samihah Mohamed Janum
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Penggiat kreatif Malaysia boleh membantu memastikan kisah Palestin terus hidup dengan menggunakan platform mereka untuk membicarakan isu Palestin, bekerjasama dengan seniman, pemuzik dan penyair Palestin serta menyediakan ruang untuk mereka berkongsi pengalaman.
Ahli akademik dan penyair Palestin Dr Nida Younis berkata usaha itu boleh dilakukan dengan menjemput rakyat Palestin ke universiti, sekolah dan pelbagai platform lain, selain menggalakkan penggiat kreatif Malaysia terus menghasilkan karya mengenai Palestin menerusi puisi, novel serta bentuk seni dan kesusasteraan lain.
“Novel dan puisi lazimnya bertahan lebih lama berbanding berita media, pendirian politik dan banyak perkara yang kini sedang dihapuskan di lapangan.
“Kami di Palestin hanya meminta seluruh dunia untuk terus mengingati Palestin dan melakukan apa sahaja dari tempat masing-masing bagi terus mengangkat perjuangan Palestin,” kata beliau dalam wawancara baru-baru ini menerusi program Bernama World di Bernama TV bertajuk “Palestine Beyond The Headlines: Global Solidarity Through Art and Music”.
Nida berkata institusi kebudayaan dan tapak warisan di Gaza juga penting dalam memelihara hubungan rakyat Palestin dengan sejarah, ingatan dan identiti mereka.
Beliau berkata pemusnahan monumen kebudayaan, gereja, muzium, arkib dan perpustakaan oleh Israel telah memutuskan hubungan rakyat Palestin dengan masa lalu, ingatan, warisan serta naratif mereka.
Beliau menyifatkannya sebagai “jenayah bermata dua” yang memusnahkan manusia serta pada masa sama menghakis hubungan rakyat Palestin dengan sejarah dan warisan mereka.
“Ini amat berbahaya kerana mereka cuba menulis semula naratif Palestin mengenai tanah air mereka secara paksa dengan memusnahkan semua monumen kebudayaan, gereja, muzium, arkib, perpustakaan dan segala yang menghubungkan rakyat Palestin bukan sahaja dengan masa lalu, malah masa depan mereka sebagai sebuah tamadun.
“Rakyat Palestin mempunyai hubungan yang panjang dan berkekalan dengan sejarah mereka, namun kini semuanya tertimbus di bawah runtuhan.
"Mereka cuba menghapuskan budaya, identiti dan segala yang dimiliki rakyat Palestin,” katanya.
Penyanyi Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerusi Yayasan Nurjiwa turut menyokong inisiatif kemanusiaan dan pendidikan di Gaza, termasuk usaha membina semula Sekolah Afwa Al-Aafiyah.
Sekolah itu dibina sebelum tercetusnya perang pada 2021 hasil inspirasi penyanyi nombor satu negara itu bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, dengan harapan menyediakan peluang pendidikan serta masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak di Gaza.
-- BERNAMA