Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
JAKARTA, 30 Sept (Bernama) -- Kapten Malaysia Dion Cools memuji rakan gandingannya di posisi pertahanan, Brad Tapp dan pemain tengah Nooa Laine selepas Harimau Malaya mencatatkan dua perlawanan tanpa bolos dalam aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026 di sini.
Cools berkata gandingannya bersama Tapp berjaya membentuk keserasian selepas Malaysia menang 3-0 ke atas Bangladesh dan keputusan seri tanpa jaringan menentang tuan rumah Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini.
“Dua perlawanan tanpa bolos … .Saya kagum dengannya. Kami boleh meneruskan gandingan seperti ini dan berharap dapat meneruskannya dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita, di sini.
Tapp, 25, antara tiga muka baharu dalam skuad Harimau Malaya bersama penyerang naturalisasi, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo.
Cools turut memuji Nooa atas permainan yang semakin baik dalam membantu melindungi barisan pertahanan.
Pemain Cerezo Osaka FC itu berkata pemain tengah kelahiran Finland berkenaan terus menunjukkan kematangan setiap kali menyertai skuad kebangsaan selain memiliki kualiti serta mudah menerima arahan taktikal.
“Bagi saya, dia pemain yang hebat … .Setiap kali saya menyertai pasukan kebangsaan, saya lihat dia terus menunjukkan peningkatan.
Skuad Malaysia di bawah kendalian ketua Jurulatih Interim Tan Cheng Hoe akan menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A Divisyen 1 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung esok.
Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi jumlah mata dengan Indonesia di tempat kedua tetapi berada di depan menerusi perbezaan gol, manakala Singapura di tempat ketiga dengan tiga mata dan Bangladesh kekal di tangga tercorot tanpa mata.
Dalam kejohanan sulung itu, juara kumpulan akan mara ke final, manakala naib juara akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga, dengan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di GBK Isnin depan.
-- BERNAMA