29/06/2026 06:02 PM

Penerimaan Positif Pengundi Terhadap "Kak Awi" Perkukuh Momentum Kempen BN - Onn Hafiz

MERSING, 29 Jun (Bernama) -- Penerimaan positif pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib diyakini mampu memperkukuh momentum kempen gabungan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penerimaan pengundi terhadap Alwiyah atau lebih mesra dikenali sebagai “Kak Awi” dalam kalangan komuniti setempat amat memberangsangkan.

Beliau berkata konsep Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya diterjemahkan dengan penyertaan semula Alwiyah ke parti itu.

"Kita semua tahu bahawa Kak Awi adalah pemimpin yang baik. Walaupun sebelum ini dalam pembangkang, beliau sentiasa buat kerja demi rakyat. 

"Alhamdulillah kita dapat terima beliau kembali ke pangkuan BN dan demi Bangsa Johor tidak ada masalah untuk kita teruskan perjuangan," katanya kepada pemberita pada Program Santai ONN X ONN Bersama Menteri Besar Johor di Endau hari ini.

Turut hadir calon BN DUN Tenggaroh Youzaimi Yusof. 

Onn Hafiz berkata jentera parti di DUN Endau dan Tenggaroh dilihat berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik dalam memberi sokongan kepada calon BN sehingga mencapai kemenangan. 

​"Insya-Allah, kita berdoa agar momentum ini dapat diteruskan hingga hari mengundi pada 11 Julai ini," katanya sambil memaklumkan setakat ini kempen bagi PRN Johor berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Pada PRN Johor 2022, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada ketika itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau dengan kemenangan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.

Beliau sebelum itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket BN sebelum menyertai Bersatu.

Hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N32: ENDAU: JOHOR: 28,767

 

1. Hasnul Hakimi Hussien    (PN-PAS)

2. Jati Awang   (ASLI)

3. Saiful Nizam Samat    (PH-PKR)

4. Alwiyah Talib    (BN-UMNO)

 

(2022: Alwiyah Talib: PN-Bersatu: Maj: 3,041)