Dr Adham Pertaruh Rekod Perkhidmatan, Yakin Tambat Hati Pengundi Pasir Raja
JOHOR BAHRU, 24 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yakin pengalaman luasnya sebagai wakil rakyat selama dua penggal di kawasan Pasir Raja membantu beliau meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dr Adham yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja hari ini berkata hubungan rapat bersama penduduk setempat juga menjadi kekuatannya dalam memenangi hati pengundi.
“Saya yakin sebagai orang lama dalam DUN Pasir Raja dan juga Panti, serta sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara, saya mengenali sangat ramai pengundi,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman senarai calon BN bagi menghadapi PRN Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Mengenai cabaran yang dijangka dihadapi pada PRN kali ini, Dr Adham berkata kejayaan sesebuah parti banyak bergantung kepada keupayaan jentera kempen mendekati seramai mungkin pengundi.
“Pada saya, siapa yang giat berkempen dan dapat menemui seramai mungkin pengundi akan memperoleh lebih banyak keuntungan daripada kempen itu,” katanya.
Sekiranya diberi mandat, beliau berkata fokus akan diberikan kepada usaha memperkasakan sektor pendidikan tinggi dan latihan kemahiran di kawasan berkenaan.
Dr Adham pernah menjadi ADUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum memenangi kerusi Parlimen Tenggara pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 selain pernah menyandang jawatan Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- KPKT Salur RM216.44 Juta Perkukuh Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Johor
- 755 Kandungan Jelik, Melampau Berkaitan 3R Diturunkan
- Mindef Lancar PSPN 2026-2030, RTKP Pacu Kesiapsiagaan Pertahanan Negara
- Malaysia Tumpu Aktiviti Bernilai Tinggi Reka Bentuk Litar Bersepadu, Perkukuh Industri Semikonduktor
- Pochettino Tidak Akan Ambil Risiko Pemain Dengan Kad Kuning